Gangguan elektrik: LRT laluan Ampang - Sri Petaling terjejas, MRT Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa
Ridauddin Daud
Julai 27, 2022 13:53 MYT
Julai 27, 2022 13:53 MYT
KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan elektrik yang melanda beberapa kawasan di Lembah Kelang sejak beberapa jam lepas turut menjejaskan perkhidmatan rel.
Ask Rapid KL (@askrapidKL) menerusi ciapan di Twitter pada Rabu memaklumkan laluan yang terjejas adalah laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang - Sri Petaling.
"Penumpang dinasihatkan untuk bersabar dan sila ikuti arahan yang diberikan. Penumpang juga disarankan untuk menggunakan pengangkutan alternatif.
“Ikuti kami untuk perkembangan selanjutnya,” ciap Rapid KL sebentar tadi.
Sementara itu, dalam jawapan kepada pertanyaan pengguna (Fadwah Dayini), twitter rasmi Rapid KL (@MyRapidKL) memaklumkan laluan Kelana Jaya dan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) beroperasi seperti biasa.
Terdahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan terdapat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
Menerusi perkongsian di Facebook TNB Careline, syarikat itu memaklumkan pasukan teknikal sedang mengenal pasti punca kejadian.
"Usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.
"Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini," memetik kenyataan tersebut.