Gangguan bekalan air pulih 97 peratus - Air Selangor
Bernama
Oktober 8, 2020 21:43 MYT
Oktober 8, 2020 21:43 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 266 dari 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya telah menerima bekalan air penuh dengan peratusan pemulihan pada tahap 97 peratus sehingga 6 petang ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Basri, dalam kenyataan hari ini, berkata Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem bagi memulihkan lapan lagi kawasan yang masih terjejas di wilayah Petaling dan Kuala Langat.
Air Selangor menyarankan agar para pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran komunikasi rasminya dengan merujuk aplikasi Air Selangor, media sosial Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.
Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad apabila Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas selepas berlaku pencemaran sumber air mentah.
-- BERNAMA
#Air Selangor
#Elina Basri
#air
#bekalan air
#Hulu Langat
#Petaling
#Kuala Langat
#Sepang
#Semenyih
#Putrajaya