Gangguan bekalan air: Perketat kawalan, pemantauan - Lee Lam Thye

Fauzi Suhaimi
Oktober 6, 2020 11:54 MYT
LEE: Sepatutnya, kita lebih bersikap proaktif dengan mengambil inisiatif dan penyelesaian jangka panjang bagi menyelesaikan isu ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ikatan Komuniti Selamat menggesa agar Kerajaan Negeri Selangor tidak bersifat sambil lewa dalam usaha memperketatkan kawalan dan pemantauan bagi memastikan kes gangguan bekalan air di negeri itu tidak berulang.
Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan paling tegas perlu diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab, khususnya membabitkan kilang yang mengakibatkan pencemaran sungai.
Katanya, perkara itu perlu dilakukan memandangkan kejadian pencemaran sedemikian berlaku hampir dua kali dalam tempoh setahun.
"Masalah ini, pada saya, ada kaitan dengan tadbir urus mengenai semua aspek, tentang pengurusan air di negeri berkenaan.
"Sepatutnya, kita lebih bersikap proaktif dengan mengambil inisiatif dan penyelesaian jangka panjang bagi menyelesaikan isu ini, bukan hanya kawalan dan pemantauan yang dilakukan ketika berlakunya masalah.
"Cuma, untuk tingkatkan kawalan dan pemantauan ini, memerlukan inisiatif daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Jika perkara itu disemai dengan keazaman dan iltizam untuk melakukannya, saya rasa nothing is impossible," kata Lee ketika ditemu bual menerusi Buletin AWANI hari ini.
BACA: Gangguan bekalan air: Pencemaran LRA Sungai Semenyih semakin pulih
BACA: Aktiviti pembersihan reban angsa disyaki punca pencemaran sungai Negeri Sembilan
Beliau diminta mengulas berhubung operasi Loji Pembersihan Air (LPA) Semenyih dan Bukit Tampoi yang terpaksa dihentikan sejak Ahad berikutan berlaku pencemaran air di muka sauk Sungai Semenyih.
Dalam pada itu, Lee meminta pihak berwajib untuk menambah baik sistem pengurusan air yang lebih sistematik agar ia tidak menjejaskan pengguna.
"Banyak ruang yang perlu ditambah baik dan jika ia dibiarkan seperti bertindak jika ada masalah, perkara ini tidak akan selesai secara menyeluruh," ujarnya.
BACA: Ada bau seakan bangkai di Sungai Semenyih, Sungai Langat - LUAS
BACA: Pencemaran air Sungai Semenyih: Sudah tiba masa operasi kilang tepi sungai dipantau
#Sungai Semenyih #loji rawatan air #loji pembersihan air #Bukit Tampoi #gangguan bekalan air #pencemaran #Lee Lam Thye #pengurusan air #Air Selangor #penyelesaian jangka panjang #kawalan #pemantauan #tadbir urus #Ikatan Komuniti Selamat #Selangor #tindakan tegas
;