Gangguan bekalan air: Pengguna terjejas diminta simpan air secukupnya
Sinar Harian
Oktober 5, 2023 16:47 MYT
Oktober 5, 2023 16:47 MYT
SHAH ALAM: Pengguna terjejas susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pada 10 Oktober ini diminta membuat persediaan awal termasuk menyimpan bekalan air secukupnya.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Ir Izham Hashim memaklumkan gangguan bekalan air berjadual itu bermula jam 9 pagi berikutan LRA Sungai Langat ditutup untuk kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan.
“Mohon penduduk yang terjejas buat persediaan awal. Simpan air secukupnya,” kata Izham dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Orang ramai boleh merujuk senarai kawasan terjejas di laman sosial rasmi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Terdahulu media melaporkan agensi itu memaklumkan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di LRA Sungai Langat akan mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.
Air Selangor turut memaklumkan kerja itu dijangka siap pada 7 malam hari sama dengan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari pada 12 Oktober (Khamis).
Dalam pada itu, lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas pada hari tersebut dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. - Sinar Harian