Gangguan bekalan air, lebih 1,000 kawasan di Lembah Klang terjejas

Astro Awani
Julai 23, 2024 10:25 MYT
Tujuh wilayah yang mengalami gangguan bekalan air adalah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian itu berpunca daripada empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas berikutan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.
LRA yang terbabit ialah LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3)
Menurut kenyataan itu, tujuh wilayah yang mengalami gangguan bekalan air adalah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
"Air Selangor sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan impak kepada pengguna. Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa," kata Air Selangor hari ini.
Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor untuk senarai kawasan yang terjejas akibat henti tugas empat LRA berkenaan.
#Lembah Klang #gangguan bekalan air #Air Selangor #pencemaran bau