Gangguan bekalan air: Kerja pembaikan paip putus Damansara Utama lewat 4 jam

Harits Asyraf Hasnan
Disember 31, 2020 08:18 MYT
Terdapat masalah teknikal dan keselamatan melibatkan kerja pengalihan paip sementara di atas bahu jalan Lebuhraya SPRINT. - Foto Air Selangor
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja membaiki paip putus di Damansara Utama mengalami kelewatan selama empat jam berbanding perancangan awal.
Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), terdapat masalah teknikal dan keselamatan melibatkan kerja pengalihan paip sementara di atas bahu jalan Lebuhraya SPRINT.
"Air Selangor mensasarkan kerja-kerja tersebut akan siap sepenuhnya pada jam 10 pagi ini, sejak dimulakan pada jam 12:30 tengah malam, 30 Dis, 2020.
"Bekalan air akan diagihkan setelah kerja-kerja pengalihan paip sementara ini siap," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Susulan pelanjutan kerja pembaikan itu, bekalan air yang dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang 1 Jan 2021, juga berkemungkinan akan lewat.
Semalam, Air Selangor memaklumkan, kerja pembaikan disebabkan tanah runtuh itu akan mengambil masa 30 jam dan dijangka siap jam 6 pagi ini.
Pengguna di 63 kawasan terjejas di wilayah Petaling dan Kuala Lumpur akan mula mendapat bekalan air secara berperingkat selepas kerja pembaikan siap.
Sumber Facebook airselangor
#tanah runtuh #bekalan air #Air Selangor #keselamatan #paip putus #paip pecah #gangguan air #pengalihan paip
;