Gangguan bekalan air Kampung Sungai Besar selesai hujung tahun ini
Abd Razak Mohd Ali
Mei 12, 2022 08:45 MYT
Mei 12, 2022 08:45 MYT
PASIR SALAK: Gangguan bekalan air yang dialami hampir 1,000 penduduk Kampung Sungai Besar di Kampung Gajah, dekat sini, pada setiap kali musim perayaan sejak 2011, dijangka dapat diatasi sepenuhnya selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Ia ekoran langkah Lembaga Air Perak (LAP) melakukan pengezonan semula kawasan bekalan supaya tekanan dapat ditingkatkan dalam tempoh yang lebih cepat.
Pengurus Besar LAP Datuk Ishak Abd Rahman berkata, dalam masa sama, pihaknya juga akan menaik taraf saluran paip utama yang dijangka dapat mempertingkatkan kadar aliran ke Mukim Kota Setia.
"Kita cadang juga untuk menaik taraf loji rawatan air di Kampung Gajah supaya saluran bekalan air itu dapat ditingkatkan juga untuk membantu bekalan di kawasan-kawasan yang terlibat.
"Dan di samping itu juga, ada perancangan jangka panjang yang tersedia untuk kita laksanakan dan insya-Allah kawasan ini bekalan airnya akan dijamin di masa-masa yang akan datang," katanya.
Beliau ditemui selepas sesi perbincangan dengan penduduk kampung yang terjejas di Pejabat Penghulu Mukim Kota Setia, Pasir Salak.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang turut hadir berkata, LAP juga akan menaik taraf pam penggalak di Kuala Parit di samping membina loji rawatan air baharu di kawasan Kampung Gajah.
"Harapan saya, apa juga isu, sama ada masalah air, masalah kemiskinan, masalah lain-lain, tentulah saya sebagai pemimpin masyarakat yang dipilih oleh rakyat mahukan penyelesaian yang terbaik buat semua.
"Yang paling utama adalah kesejahteraan rakyat dan kawasan masyarakat sekitar. Sebagai contoh, isu air pada hari ini, tentulah saya berhasrat mahukan pihak LAP membantu sebaik mungkin," katanya.
Terdahulu, penduduk Kampung Sungai Besar melahirkan rasa kecewa susulan gangguan bekalan air yang teruk sejak Hari Raya pertama tempoh hari.
"Kalau mengikut sejarah, masalah kekurangan air di Sungai Besar ini memang biasa. Kadang-kadang ada sebab-sebab yang tertentu dan sebagainya.
"Tetapi apabila pada tahun ini, pada hari raya, begitu ganjil sekali. Tak pernah berlaku gangguan yang lama seperti ini.
"Dan tidak ada maklumat atau laporan yang tertentu. Seolah-olah macam, begitu sajalah," kata Ishak Marsan, salah seorang penduduk.
Seorang lagi penduduk, Samsul Hisham Mat Takir berkata: "Saya harap selepas ini keadaan pulih seperti sedia kala, untuk semua penduduk kampung ini dan juga kampung-kampung berdekatan.
"Sebab, isu ini sudah terlampau lama. Seingat saya, seawal tahun 2011, ketika itu, menjelang Aidilfitri juga dan kebetulan ada kematian. Dari situlah bermulanya punca kekurangan air sehingga ke hari ini."