Gangguan bekalan air di Sik, Kuala Muda dijangka pulih petang ini - Exco
Abd Hadi Che Awang
November 14, 2020 16:36 MYT
November 14, 2020 16:36 MYT
SIK: Gangguan bekalan air membabitkan 34,200 premis pengguna atau lebih 130,000 penduduk di sekitar daerah Sik dan Kuala Muda sejak Khamis lepas, dijangka kembali pulih selewat-lewatnya petang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata tiga loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Jeniang Lama, LRA Jeniang Baru dan LRA Sungai Pau yang sebelum ini dihenti tugas susulan pencemaran sebelum ini telah beroperasi semula.
"LRA Jeniang Lama sudah mula beroperasi 5 petang semalam manakala LRA Sungai Pau pula mula beroperasi kira-kira 12 tengah malam tadi.
"LRA Jeniang Baru pula mula beroperasi kembali pada 9 pagi tadi, dan dijangkakan selewat-lewatnya petang ini semua akaun yang terjejas akan kembali menerima bekalan air," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat lokasi tumpahan minyak yang dipercayai menyebabkan pencemaran di tiga LRA berkenaan di Kampung Berona Kiri, dekat sini hari ini.
Khamis lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA) Mohd Suhaimi Mohd Jusoh memaklumkan 34,200 akaun pengguna di Sik dan Kuala Muda mengalami gangguan bekalan air susulan tiga LRA tersebut dihentikan operasi kerana pencemaran akibat tumpahan minyak diesel.
Pencemaran itu dipercayai berpunca daripada tapak projek memasang 'jacking pipe' yang terletak kira-kira 100 meter dari LRA Jeniang Lama yang dijalankan oleh pekerja sebuah syarikat.
#gangguan bekalan air
#sik
#kuala muda
#SADA
#pencemaran diesel
#Suraya Yaacob
#ADUN
#Exco
#Kedah
#LRA
#henti tugas