Gangguan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur pulih sepenuhnya

Nursyazwani Saiful Sham
Julai 25, 2019 08:47 MYT
ABDUL RAOF: Kami memohon maaf atas segala kesulitan.
Bekalan air di tujuh wilayah pulih sepenuhnya.
Tujuh kawasan tersebut adalah Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat.
Ia susulan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta loji rawatan air Rantau Panjang disebabkan oleh pencemaran diesel.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dalam satu kenyataan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pengguna yang terjejas sepanjang proses pemulihan bekalan air berlangsung.
Pemulihan bekalan air berjaya ditangani hasil usaha sama Kerajaan Negeri, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan operator air negeri lain.
Terdahulu, lebih satu juta akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dilapor sekali lagi terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual bermula malam Ahad lalu.
Pada Isnin, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari percaya kemungkinan besar pencemaran Sungai Selangor yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air di Selangor buat sekian kalinya adalah daripada perbuatan khianat.
BACA: EKSKLUSIF: Pencemaran air Selangor: Nampak tumpahan diesel, ada individu tawar 'duit kopi'
Beliau yang melihat sendiri kawasan terlibat pada Isnin memberitahu, minyak diesel dan benzena yang dikesan petang Ahad didapati masuk ke aliran air dari sebuah pontun yang sudah tidak beroperasi sejak dua bulan lalu.
#Abdul Raof Ahmad #Air Selangor #bekalan air #gangguan #henti tugas #Kuala Lumpur #loji rawatan air #LRA #pencemaran diesel #Selangor
;