Gangguan bekalan air di Seberang Perai Selatan dan selatan Pulau Pinang

Bernama
Disember 16, 2019 18:18 MYT
Gangguan bekalan bakal dialami selama 12 jam dari 10 malam pada 20 Disember. - Gambar hiasan
Kira-kira 200,000 pengguna air di Seberang Perai Selatan (SPS) dan selatan Pulau Pinang dijangka mengalami gangguan bekalan selama 12 jam dari 10 malam pada 20 Dis berikutan kerja sambungan semula paip bekalan air utama di Loji Rawatan Air Sungai Dua (LRA Sungai Dua).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata kerja yang perlu disegerakan itu membabitkan pemasangan 1200mm injap kupu-kupu baharu dan sambungan semula saluran paip 1200mm di LRA Sungai Dua.
"Pada 24 Jun tahun ini, saluran paip 1200mm yang menghubungkan modul rawatan air ke tangki air bersih LRA Sungai Dua tiba-tiba pecah. Pada masa itu, PBAPP mengutamakan kepentingan 200,000 pengguna air dalam program respons kecemasannya.
"Dalam usaha memulihkan semula bekalan air kepada pengguna dalam tempoh 24 jam pada 25 Jun tahun ini, PBAPP mengimpal sementara saluran paip yang pecah dan menjalankan semula modul rawatan air," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata modul itu kini mesti dijalankan semula bagi memastikan LRA Sungai Dua beroperasi dengan optimum sebelum musim cuaca kering yang diramal di Pulau Pinang bermula pada Januari 2020.
Jaseni berkata kerja itu juga berkaitan dengan menjalankan semula modul rawatan air 114 juta liter sehari (MLD).
Beliau berkata 10 kawasan terjejas di SPS termasuk Nibong Tebal, Jawi, Sungai Bakap, Batu Kawan, Simpang Ampat, Bukit Tambun, Bukit Minyak, Bukit Tengah, Juru dan Sungai Acheh.
Di selatan Pulau Pinang pula, 11 kawasan akan terjejas termasuk Jalan Kelicap, Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Bukit Gambir, Jalan Tun Dr Awang, Minden Heights, Sungai Ara, Sungai Batu, Bayan Lepas, Bayan Baru dan Balik Pulau, katanya.
Beliau berkata gangguan bekalan air berjadual akan turut menjejaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air yang mencukupi.
"PBAPP ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul berikutan gangguan air berjadual ini," katanya.
-- BERNAMA
#gangguan bekalan air #Jaseni Maidinsa #PBAPP #pengguna #pulau pinang #Seberang Perai Selatan
;