Gangguan bekalan air di Muallim pulih sepenuhnya petang ini
Sinar Harian
Ogos 25, 2024 13:30 MYT
Ogos 25, 2024 13:30 MYT
IPOH: Gangguan bekalan air melibatkan ribuan pengguna di daerah Muallim akibat paip pecah disebabkan bencana kepala air di Ulu Slim dijangka pulih sepenuhnya petang ini.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sehingga malam tadi 60 peratus kerja-kerja pembaikan di kawasan yang terjejas sudah disiapkan.
Menurutnya, kawasan yang masih terjejas dibekalkan dengan tangki-tangki air sementara masalah tersebut diselesaikan sepenuhnya.
"Walaupun jambatan runtuh, paip air LAP (Lembaga Air Perak) pecah, ia tidak memberikan kesan besar kerana kita ada tangki air yang mencukupi. Dalam masa 24 jam kita dapat kembalikan bekalan air
"Paip pecah semalam sekitar jam 7 hingga 8 malam dapat kita baiki hampir 60 peratus. Kalau kerja-kerja dapat diselesaikan hari ini bekalan air dapat dipulihkan sepenuhnya petang ini, Insya-ALLAH," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Jelajah Sejahtera Desaku Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di padang Taman Lapangan Jaya, Kampung Rapat di sini pada Ahad.
Sementara itu mengenai pembinaan Jambatan Bailey menghubungkan Slim Village dengan Bandar Behrang, Mohammad Nizar berkata, kerja-kerja pembinaan tapak telah dimulakan semalam.
Menurutnya, pembinaan jambatan sementara itu akan mengambil masa seminggu untuk disiapkan dan ia bergantung kepada cuaca sama ada kepala air akan kembali berlaku atau sebaliknya.
"Tetapi usaha untuk membuat tapaknya sudah mulai dibuat mulai semalam dan hari ini jadi apabila tapak itu dibuat di kedua-dua belah kiri dan kanan bagi memastikan ia stabil untuk digunakan dalam masa seminggu.
"Ini usaha kerajaan untuk memastikan Slim Village dan Behrang terhubung bagi memudahkan urusan penduduk untuk pergi ke sekolah dan bekerja. - Sinar Harian