Gangguan bekalan air di Gombak pulih sepenuhnya

Bernama
September 26, 2021 23:28 MYT
Bekalan air di semua kawasan di Gombak yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah pulih sepenuhnya pukul 8 malam ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bekalan air di semua kawasan di Gombak, Selangor yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point, Jalan Ampang, pulih sepenuhnya pukul 8 malam ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri memohon kerjasama para pengguna untuk melaporkan sebarang kejadian paip bocor atau pecah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan tindakan pembaikan dapat dilakukan dengan segera.
"Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
--BERNAMA
TAG:Air Selangor, pulih, Gombak, gangguan, bekalan.
#gangguan bekalan air #pulih sepenuhnya #Gombak #Air Selangor #Elina Baseri #Jejambat Ampang Point #jalan ampang #paip bocor
;