Gangguan bekalan air di 27 kawasan di Kuala Langat, Sepang 24 Nov
Bernama
November 20, 2020 19:00 MYT
November 20, 2020 19:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan 27 kawasan di wilayah Kuala Langat dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 9 malam 24 Nov ini dan akan pulih sepenuhnya pada 5.30 petang, keesokan harinya.
Air Selangor dalam kenyataan hari ini berkata ia berikutan kerja-kerja penggantian injap pada paip agihan di simpang Jalan Indah 1, Jalan B48 Pekan Sepang Lama pada 24 Nov ini.
"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.
"Kerja-kerja penggantian ini dilakukan adalah untuk membolehkan sistem pengagihan bekalan air berjalan lancar serta sentiasa berada dalam keadaan baik dan optimum," katanya.
Kenyataan itu berkata penambahbaikan infrastruktur injap ini juga adalah sebahagian usaha Air Selangor dalam meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan.
Justeru, Air Selangor menasihatkan para pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.
Maklumat lanjut, layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor di Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
-- BERNAMA