Gangguan air: "Tak larat dah nak angkut air..." - Penduduk pangsapuri
Hasimi Muhamad
Oktober 14, 2021 19:27 MYT
Oktober 14, 2021 19:27 MYT
KUALA LUMPUR: “Kalau di tingkat empat, penat juga nak angkut air…”.
Demikian luah penduduk di Pangsapuri Sri Negeri Sembilan, Bandar Baru Sentul di sini, susulan masalah gangguan air berjadual di Lembah Klang yang berlaku sejak semalam.
Menurut suri rumah, Harlina Ruslan, 54, dia juga terpaksa mencatu air bagi mengawal penggunaan air untuk bertahan sementara bekalan pulih.
Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu menambah, notis awal yang dikeluarkan oleh pihak Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membantunya untuk membuat persiapan awal.
“Sangat-sangat menganggu kepada kita (penghuni) yang duduk tingkat empat (paling atas). Ditambah pula (premis) rumah ini tiada lif, nak angkut (air) memang tak larat,” katanya ketika ditemui, di sini pada Khamis.
Berkongsi lebih lanjut, Harlina berkata bekalan air di pangsapurinya mula terputus sekitar pukul 11 pagi tadi.
Namun, Air Selangor telah menempatkan dua tangki air bagi membantu penghuni di lapan blok pangsapuri tersebut, tambahnya.
“Perkara macam ini kena ambil serius (gangguan air).
“Bak kata orang, air ini sumber penting untuk kita semua. Jadi, kalau boleh ada penambahbaikan daripada mengelakkan perkara ini berlaku kerana ia agak menyusahkan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, pemandu, Awang Ujang, 61, senada dengan Harlina bahawa masalah bekalan air di Lembah Klang perlu dipandang serius.
“Memang perasaan marah itu ada… kenapa mereka buat kerja macam itu. Buat kerja kata orang itu tidak mengambil kira jangka masa panjang.
“Sepatutnya, urusan ini buat jangka panjang. Kalau terjadi juga, tak boleh buat apa sebab benda itu kita dah buat. Tapi benda macam ini tak tahu nak cakap. Tahun lepas dah ada sekali, tapi tak teruk macam ini. Ini paling teruk sampai tiga hari," ujarnya.
Bagi jurutera, Redza Rashidi, 28, dia terpaksa berbelanja lebih untuk membeli bekas simpanan air bagi memastikan sumber asas itu mencukupi sepanjang tempoh gangguan bekalan.
"Bagi saya sebab sektor ekonomi sekarang sedikit sebanyak menganggu (beban).
"Jika perkara ini kerap sangat berlaku, dan tiada apa-apa tindakan oleh kerajaan, agak sukar untuk mengharungi kehidupan," luahnya ketika ditemui di Kampung Baru, di sini.
Sebanyak 998 kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 13 hingga 16 Oktober ini, susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).
Air Selangor memaklumkan bekalan air dijangka mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat mulai 5 petang, Khamis.