Gangguan air: Sains salur bekalan air di kawasan terjejas
Bernama
November 5, 2020 21:43 MYT
November 5, 2020 21:43 MYT
SEREMBAN: Sebanyak 11 lori tangki bekalan air terawat dan 44 tangki statik telah dihantar ke kawasan terlibat gangguan bekalan air sekitar Port Dickson dan Seremban mulai pagi tadi.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Norzita Ismail berkata bekalan air itu akan dibekalkan sehingga kerja-kerja menambak tebing runtuh di Sungai Linggi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selesai.
"SAINS juga telah membuka beberapa kawasan pengambilan air melalui 'feeder' yang ditetapkan bagi pelanggan industri dan pengguna domestik melalui lori tangki yang disewa mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata setakat hari ini 17 lori tangki air daripada operator air termasuk Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Syarikat Air Melaka Berhad, Ranhill SAJ Sdn Bhd dihantar untuk diagihkan di kawasan terjejas sehingga keadaan terkawal dan pulih.
Media semalam melaporkan, lebih 45,000 akaun pengguna SAINS yang melibatkan sebahagian kawasan Port Dickson dan Seremban berdepan masalah bekalan air berikutan gangguan terhadap operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi susulan kejadian hujan lebat semalam.
-- BERNAMA