Gangguan Air: Pemulihan bekalan air di Lembah Klang capai 78 peratus

Nickyson Nyambar
Oktober 15, 2021 17:30 MYT
Bekalan air di kawasan terbabit terjejas berikutan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 13 Okt lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Bekalan air bagi 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih pada tahap 78 peratus sehingga 3 petang ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kemas kininya di Facebook pada hari ini memaklumkan pemulihan di kawasan Hulu Selangor dan Kuala Langat adalah sebanyak 100 peratus manakala Kuala Selangor pada 99.4 peratus dan Petaling catat 98.9 peratus.
"Mengikut pecahan, bagi Shah Alam ianya mencatatkan 98.1 peratus, Gombak (73), Kuala Lumpur (64.8) dan Klang (24.8)
"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," katanya.
Ujar Air Selangor lagi, status berkenaan pemulihan kawasan yang terjejas dalam gangguan bekalan air di Lembah Klang dan Selangor boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com.
Ini termasuk status pili air awam serta stesen pengisian air komersial melibatkan kawasan-kawasan terbabit.
Bekalan air di kawasan berkenaan terjejas berikutan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 13 Okt lepas.
#loji rawatan air #gangguan bekalan air #Lembah Klang #Selangor