Gangguan air: LUAS segerakan pembersihan tumpahan cecair
Sinar Harian
Disember 24, 2022 10:00 MYT
Disember 24, 2022 10:00 MYT
SHAH ALAM: Henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dikenal pasti berpunca daripada tumpahan cecair akibat kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer (KM) 44.1, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan berkata, jarak lokasi kemalangan tersebut ke LRA Semenyih adalah sekitar 6.4km.
Menurut kenyataan itu, LUAS sedang mengusahakan tindakan segera membersihkan kesan tumpahan tersebut bagi membolehkan operasi LRA diaktifkan semula.
"LUAS juga telah mengaktifkan pemantauan rapi di sepanjang aliran sungai dari kawasan kemalangan ke LRA bagi memastikan aliran pencemaran berkenaan dibersihkan sepenuhnya.
"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Sebelum ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, sebanyak 472 kawasan di lima daerah di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi, Sabtu.
Air Selangor berkata, gangguan air itu susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir. -Sinar Harian