Gangguan air: LRA Sungai Semenyih, Bukit Tampoi kembali beroperasi
Bernama
Disember 25, 2022 18:58 MYT
Disember 25, 2022 18:58 MYT
SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, dekat sini dan Bukit Tampoi, yang terpaksa ditutup semalam, kembali beroperasi hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata sumber air mentah kedua-dua LRA tersebut berjaya disalurkan semula pada 8.30 pagi dan 2 petang tadi selepas bacaan sifar ton direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.
Hee berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), agensi kerajaan negeri dan pihak yang terlibat telah melaksanakan tindakan mitigasi di semua lokasi yang terbabit dalam insiden pencemaran bau yang menyebabkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas.
"Sebanyak dua lori tangki sedut dengan kapasiti 11 dan 6 tan telah digunakan untuk menyedut baki cecair tersebut sepanjang 500 meter aliran longkang. Manakala 45 beg 'Activated Carbon' bersamaan sekitar 1.6 tan telah diletakkan di lokasi merangkumi longkang lokasi pencemaran, aliran Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih bagi meningkatkan proses nyah bau air sungai.
"Dalam masa yang sama juga tiga 'oil boom' dan satu kotak 'oil pad' digunakan sebagai langkah pencegahan awal semalam. Tindakan mitigasi pencemaran ini juga dibantu dengan pelepasan air Empangan Sungai Semenyih sekitar 360 juta liter sehari untuk membantu meningkatkan kadar pencairan di Sungai Semenyih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Gangguan air malam Krismas: Bacaan 0 TON tiga kali, bekalan air mula diagih secara berperingkat
Katanya, Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat selain akan meneruskan pemantauan rapi di lokasi pencemaran, sebagai langkah siap siaga mitigasi pencegahan segera sekiranya ada lagi penemuan saki baki kesan pencemaran daripada lokasi terlibat.
Semalam, LUAS telah mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air dan siasatan mendapati pencemaran itu berpunca daripada satu insiden kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi yang berlaku pada jarak sekitar 6.4 kilometer ke muka sauk Jenderam Hilir dan 18 kilometer ke LRA Bukit Tampoi.
-- BERNAMA