Gangguan air di Kuala Lumpur dijangka pulih hari ini

Astro Awani
April 25, 2022 08:15 MYT
Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan yang terjejas. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembaikan paip pecah di rumah pam Taman Muda, Cheras siap dilaksanakan jam 2 pagi tadi.
Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya 12 tengah hari ini.
Buat masa ini bekalan air disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna.
Air Selangor juga memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan yang terjejas.
Keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air juga disarankan untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
#gangguan bekalan air #Air Selangor #rumah pam #berperingkat
;