Gangguan air: 811 kawasan pulih sepenuhnya, 481 masih dalam proses pemulihan

Ridauddin Daud
September 6, 2020 20:42 MYT
Menurut Air Selangor, sebanyak 481 kawasan pula masih lagi dalam proses pemulihan. - Gambar fail/BERNAMA
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sehingga jam 6.30 petang pada Ahad, sebanyak 811 kawasan yang mengalami masalah air telah pulih sepenuhnya.
Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, sebanyak 481 kawasan pula masih lagi dalam proses pemulihan.
“Secara keseluruhan, 62.7 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual itu telah pulih sepenuhnya,” katanya.
Dalam kenyataan itu, beliau turut berkongsi status terkini dengan kawasan Kuala Selangor kini hampir pulih sepenuhnya (99.2 peratus) manakala hanya 24.2 peratus kawasan di Klang/Shah Alam sudah pulih.
Kawasan lain pula menunjukkan peningkatan peratusan kawasan pulih dengan Hulu Selangor 94.1 peratus, Petaling (66.1 peratus), Gombak (66.4 peratus), Kuala Langat (50 peratus) dan Kuala Lumpur (41.3 peratus).
Dalam pada itu, Elina turut menafikan beberapa mesej tular dalam aplikasi WhatsApp berkaitan masalah air di Selangor.
“Air Selangor ingin menafikan mesej viral melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial mengenai bekalan air akan ditutup semula dan catuan akan dilakukan, serta isu kualiti air yang tidak selamat di premis, yang perlu dibiarkan selama sehari sebelum boleh digunakan.
“Para pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor,” ujarnya.
Katanya lagi, Air Selangor juga memberi jaminan bahawa kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna adalah selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.
#air #Air Selangor #catuan #Elina Baseri #Hulu Selangor #Kementerian Kesihatan #kesihatan #Klang #Kuala Langat #Kuala Lumpur #Kuala Selangor #Malaysia #masalah air #Media #media sosial #peratus #shah alam #WhatsApp
;