Gangguan air 4 hari di Kluang, jangan risau air ada malam ini - Ranhill SAJ
Najib Aroff
Februari 6, 2021 20:41 MYT
Februari 6, 2021 20:41 MYT
Kuala Lumpur: Pemulihan bekalan air akibat paip pecah di Jalan Sri Lalang, Kluang pada 2 Februari lalu mencapai tahap 95 peratus.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Sr. Nor Ifuan Md. Nor, kerja-kerja pembaikan siap pada 4 Februari dan Loji Rawatan Air (LRA) Semberong Barat beroperasi sepenuhnya pukul 4.30 petang hari yang sama.
“Sejak itu penduduk di Kluang mula mendapat bekalan air secara berperingkat kecuali kawasan-kawasan yang berada di lokasi yang tinggi; antaranya adalah kawasan Taman Kluang Barat membabitkan kira-kira 500 akaun.
“Namun, 11 lori tangki digerakkan bagi memenuhi permintaan pengguna di kawasan itu sejak petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, makluman awal gangguan bekalan air sudah pun dikeluarkan kepada kira-kira 50,000 pemilik akaun bekalan air di Kluang yang terbabit melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
"Namun, kami melihat masih ramai yang belum mengemas kini data peribadi mereka untuk mendapatkan makluman terkini bekalan air mereka sehinggakan Ranhill SAJ hanya dapat mencapai kira-kira 50 peratus pemilik akaun sahaja katanya,” katanya.
Bekalan Air | Ketiadaan air di Kluang, selebriti bantu
Nor Ifuan menggesa orang ramai untuk terus menggunakan saluran aplikasi My SAJ untuk berkomunikasi kerana dalam situasi PKP ini saluran digital amat penting.
Beliau menegaskan, pengguna yang terjejas tidak perlu bimbang kerana bekalan air secara normal dijangka akan pulih tengah malam ini.
Astro AWANI hari ini melaporkan penduduk di Taman Kluang Barat masih belum menerima bekalan air sejak empat hari lalu susulan kejadian paip pecah.
"Kami menunggu empat hari tanpa bekalan air. Lori air ada hantar bekalan tetapi tidak mencukupi, seperti hari ini, lori hanya dapat hantar sampai ke rumah jiran belakang kemudian bekalan sudah habis.
"Saya perlu tunggu lagi. Semalam lori datang pukul 1.30 pagi ketika penduduk sedang tidur," kata salah seorang penduduk terjejas, Norani Mat Aroff, 36.
Penduduk di kawasan berkenaan berkata mereka tiada pilihan selain meninggalkan bekas kosong di hadapan rumah kerana tidak mengetahui waktu ketibaan lori bekalan air.