Ganggu jalan, polis saman 15 kenderaan pemain Pokemon GO
Astro Awani
Ogos 16, 2016 10:56 MYT
Ogos 16, 2016 10:56 MYT
Lima belas pemilik kenderaan di George Town disaman Polis Pulau Pinang atas kesalahan meletakkan kenderaan di bahu jalan bandaraya tersebut pada malam Isnin.
Mereka dipercayai melakukan kesalahan itu kerana ketaksuban mereka bermain permainan aplikasi Pokemon GO.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, tindakan mengeluarkan saman ke atas kenderaan di bahu jalan sepanjang jalan Lebuh Acheh dan Lebuh Canon itu diambil susulan aduan penduduk.
Mior Farid berkata, penduduk mendakwa terganggu dengan gelagat kumpulan yang dipercayai bermain Pokemon GO sehingga mengganggu laluan dan ketenteraman mereka.
“Sejak kebelakangan ini ramai pemain Pokemon GO berkumpul di Lebuh Aceh ini, dalam laporan itu kegiatan mereka ini menyebabkan kekacauan, bunyi bising dan sebagainya serta menggangu ketenteraman penduduk di kawasan ini.
“Jadi, saya telah mengarahkan polis trafik ambil tindakan saman ke atas kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di Lebuh Aceh dan kita telah menasihati supaya pemain Pokemon GO tidak membuat bising yang keterlaluan yang boleh mengganggu penduduk di sekitar Lebuh Aceh dan Canon ini,” katanya kepada pemberita.
Tambah Mior Farid, tidak menjadi kesalahan untuk peminat bermain permainan tersebut bermain namun mereka diingatkan supaya tidak membuat bising yang melampau sehingga mengganggu ketenteraman orang awam selain mematuhi undang- undang jalan raya dan tidak bermain permainan itu sewaktu memandu.