Gandingan NGO, hospital kerajaan beri manfaat kepada masyarakat
Bernama
Oktober 26, 2018 05:53 MYT
Oktober 26, 2018 05:53 MYT
Kerjasama antara sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan sebuah hospital terbukti berjaya dalam memberi manfaat kepada masyarakat, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata, sejak 1998, kerjasama antara Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu (PCAKK) dan Unit Penjagaan Paliatif Hospital Queen dalam menyediakan penjagaan dari hospital ke rumah telah memberikan manfaat kepada lebih 3,500 pesakit dan keluarga masing-masing.
"Untuk sesebuah pertubuhan bergerak dengan jayanya, ia memerlukan komitmen dan sumbangan, maka adalah menjadi harapan saya agar masyarakat kita hari ini bermurah hati memberikan sokongan kepada PCA dalam usaha mereka memberi penjagaan kepada golongan yang menghidapi penyakit yang membawa maut.
"Bagaimanapun, dalam kita bergerak seiring dengan peredaran masa, akan ada cabaran pada masa akan datang dan oleh itu, pertubuhan amal perlu bersedia menjadi rakan berkongsi kepakaran dan sumber, memberi fokus kepada manfaat yang terhasil daripada kerjasama," katanya semasa berucap pada konsert makan malam amal tahunan ke-18 PCA di sini malam tadi.
Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur acara berkenaan, Datuk Margaret Lim berkata kira-kira RM180,000 berjaya dikumpul pada majlis makan malam amal dan pertunjukan itu, yang menampilkan kumpulan muzik Australian Bee Gees bagi memberi penghormatan kepada Bee Gees.
Katanya, dana itu akan digunakan untuk memberi bantuan perubatan dan peralatan kepada lebih 100 pesakit bagi kegunaan mereka di rumah.
"Saya percaya, kita berada di sini bukan sahaja mengumpul dana, tetapi juga untuk memberikan masa, kepercayaan dan komitmen kita bagi menolong mereka yang memerlukan bantuan," katanya.
PCA ditubuhkan untuk memberi penjagaan di rumah kepada pesakit kanser dan mereka yang mengalami kegagalan fungsi organ. Ia memberi fokus kepada meringankan kesakitan dan beban yang ditanggung pesakit, di samping meningkatkan kualiti kehidupan pesakit dan keluarga masing-masing.
-- BERNAMA
#bantuan
#dana
#Hospital
#keluarga
#Kota Kinabalu
#Margaret Lim
#Mohd Shafie Apdal
#NGO
#paliatif
#penjagaan
#pertubuhan amal
#perubatan
#pesakit
#pesakit kanser
#rumah