Gandakan usaha, komitmen kelangsungan khazanah budaya Sabah - Jafry
Astro Awani
Oktober 13, 2020 15:47 MYT
Oktober 13, 2020 15:47 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan terus menggandakan usaha dan komitmen bagi memastikan khazanah budaya di negeri itu tidak luput ditelan zaman.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, atas dasar itu pihaknya akan menyokong segala inisiatif yang digariskan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dalam usaha memartabatkan kebudayaan serta adat tradisi suku kaum dan etnik Sabah.
“Sabah kaya dengan keunikan budaya, dengan sokongan kerajaan negeri khususnya dari segi peruntukan kewangan, sudah pasti akan memberi impak kepada usaha mengangkat kepelbagaian budaya masyarakat di negeri ini," katanya ketika satu sesi taklimat di Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) di sini pada Selasa.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Pengurus Besar LKS, Mackey Apison.
Jafry menambah, Sabah adalah sebuah negeri yang mempunyai pelbagai warisan budaya hasil daripada pelbagai kaum dan etnik.
"Warisan budaya yang dimiliki perlu dipertahankan dan dijaga kerana ia menggambarkan jati diri dan lambang sesebuah negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa perkara turut dibincangkan termasuk pembinaan 11 buah pusat kebudayaan di daerah terpilih yang mana ketika ini sedang dalam proses memohon pemilikan tanah untuk diwartakan milik LKNS.
Sementara itu Mackey berkata, pusat kebudayaan yang bakal dibina itu bukan sahaja untuk mempromosi adat budaya masyarakat tetapi juga untuk tujuan pengkomersilan produk pelancongan.
#Warisan Sabah
#Sabah
#budaya
#pelancongan Sabah
#Datuk Jafry Ariffin
#Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah
#Lembaga Kebudayaan Sabah
#khazanah budaya