Gandakan usaha agar institusi Islam amalkan tatakelola baik, julang integriti

Bernama
Februari 25, 2023 18:03 MYT
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bertekad untuk terus menggandakan usaha dalam memastikan institusi Islam di negara ini mengamalkan tatakelola yang baik serta menjulang budaya integriti. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bertekad untuk terus menggandakan usaha dalam memastikan institusi Islam di negara ini mengamalkan tatakelola yang baik serta menjulang budaya integriti.
Beliau berkata ia susulan pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperuntukkan RM1.5 bilion bagi memperkasakan institusi berkenaan agar menjadi contoh terbaik dalam aspek pengurusan dan pentadbiran yang cekap.
"Selain itu, untuk menggerakkan agenda membangun Malaysia MADANI, kerajaan mengiktiraf dan amat menghargai jasa para murabbi yang bersungguh-sungguh menggerakkan usaha imarah dakwah.
"Saya mewakili Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan kerajaan akan menaikkan elaun bagi 35,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta.
Selain itu, sumbangan khas RM600 akan diberikan kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir melibatkan 70,000 orang dengan peruntukan lebih RM40 juta.
-- BERNAMA
#institusi Islam #tatakelola baik #integriti #Mohd Na'im Mokhtar
;