Gandakan amal ibadah di bulan Ramadan
Fahmie Sopian
April 5, 2022 09:00 MYT
April 5, 2022 09:00 MYT
SYUKUR ke hadrat Allah SWT kerana kita diberikan kesempatan sekali lagi untuk menyambut Ramadan, bulan yang penuh keberkatan tahun ini 1443H.
Bilanya masuk bulan yang mulia ini, perkara pertama yang yang difikirkan adalah menambah amal ibadah, mengumpul pahala, ingin mendapat ganjaran yang berganda daripada Allah SWT di bulan Ramadan Al-Mubarak.
Tidak dinafikan, istiqamah dalam setiap amalan kita sukar untuk dilakukan memandangkan iman setiap umat Islam ada turun naiknya.
Amalan ibadah merupakan suatu perkara baik yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh semua umat manusia.
Ini kerana melaksanakn amal ibadah yang diseru oleh Allah itu termasuk semua amalan yang baik dan menjangkau semua amal soleh.
Firman Allah dalam Surah Al-Hadid ayat 21 yang maksudnya: “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-RasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
Bulan Ramadan merupakan bulan yang terbaik bagi seorang hamba yang mahu melipat gandakan amalan soleh.
Pada bulan Ramadan terdapat beberapa amalan yang boleh sama-sama kita buat walaupun ia sedikit tetapi ganjarannya berlipat kali ganda.
Amalan-amalan itu ialah seperti berikut:
1. Solat sunat sebelum sahur
Kita selalu inginkan puasa kita diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT, jadi kita perlu mulakan pagi kita dengan beribadah dengan Allah SWT.
Sebelum kita bersahur solatlah sekurang-kurangnya dua raakat semoga amalan ini berkekalan.
Kadang-kadang kita tidak berfikir kenapa Nabi menggalakkan kita bersahur, selain kita mendapat pahala bersahur maka kita berpeluang untuk tambah amalan dengan solat sunat.
2. Membaca kita suci al-Quran sepanjang Ramadan
Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat mulia di mana telah diturunkan al-Quran.
Ada yang menyebut bulan Ramadan adalah bulan al-Quran, jadi kita perlu berazam dan tekad bahawa setiap hari perlu membaca kitab suci itu walaupun tidak mampu mengkhatam al-Quran tetapi kita kerap membacanya walaupun sedikit.
Seperti kita ketahui, membaca satu huruf al-Quan akan memperoleh sepuluh kebaikan sepertimana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka ia akan mendapatkan satu kebaikan dengan huruf itu, dan satu kebaikan akan dilipatgandakan menjadi sepuluh.
Aku tidaklah mengatakan Ali Laam Miim itu satu huruf tetapi ali satu huruf lam satu huruf dan mim satu
huruf.”
3. Bersedekah
Sedekah merupakan amalan yang sangat hebat ganjarannya kerana baginda Nabi Muhammad SAW bila masuknya bulan Ramadan baginda sentiasa bersedekah seberapa banyak yang mungkin.
Bersedekah juga dapat menghapuskan segala dosa kita ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat Tirmizi).
Jadi keluarkan sedikit harta kita untuk menginfaq di bulan Ramadan, pastikan dalam poket kita sentiasa ada wang kecil supaya lebih mudah kita memberi di mana saja kita pergi.
Nampak orang yang memerlukan terus kita menghulur sedekah. Walupun pun nilainya sedikit tapi ramai dapat merasai sedekah kita dan lebih ramai mendoakan kita.
Semoga amalan kita ini di beri ganjaran yang setimpal kepada kita.
* Fahmie Sopian ialah seorang pendakwah bebas.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.