Gan Ping Sieu janji beri wajah baru kepada MCA

Rahimah Abdullah
Disember 14, 2013 20:57 MYT
Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu berhasrat untuk memberi wajah baru kepada parti itu jika diberi mandat memegang jawatan presiden parti pada Pemilihan Kepimpinan Tertinggi MCA pada 21 Disember ini.
Jelasnya, ia termasuk mengubah pendekatan berpolitik parti yang disifatkan sudah ketinggalan zaman.
"Kekalahan MCA semasa PRU 2008 dan 2013 semuanya berdasarkan kepada cara kita berpolitik. MCA dianggap parti tak begitu relevan lagi,"
"Cara atau pendekatan MCA berpolitik ini pada saya sudah ketinggalan zaman,"ujarnya semasa dihubungi Astro AWANI.
Pada masa sama, beliau mahu menarik sokongan pengundi cina di kawasan bandar yang kebanyakannya tidak berpihak kepada parti itu.
Dalam pada itu katanya,keputusan untuk bertanding jawatan nombor satu parti itu dilakukan berikutan matlamatnya mahu membawa MCA keluar daripada kepompong lama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Ujarnya, kebencian sesetengah masyarakat cina terhadap MCA, hasil politik kotor DAP perlu ditangani segera dengan melihat semula kelemahan dalam parti selama ini.
"Selama ini cara MCA politi berdasarkan perkauman saja jadi ia dianggap ketinggalan zaman, sepatutnya MCA seharusnya berhala tuju perspektik bukan perkauman, tapi perspektif nasional,"katanya.
Hasil kempen yang dijalankan, beliau melihat banyak pihak memberi sokongan kepadanya untuk bertanding pada pemilihan pimpinan tertinggi MCA nanti.
"Saya yakin mungkin sokongan kepada saya khas kebelakangan ni, semasa saya umum kesediaan untuk tanding 3 minggu dulu, ramai anggap luar biasa, tapi dari apa yang telah kempen dan apa yang saya perjuang dan juga apa momentum dalam 3 minggu, saya yakin positif dalam pilihan parti kali ini,"jelasnya.
Tegas beliau, MCA seharusnya menjadi sebuah politik untuk semua masyarakat dan mampu memberi komitmen yang tinggi sebagai sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional.
Bagaimanapun katanya, objektif sebenar parti akan diperjuangkan dengan berpegang teguh kepada model serta dasar yang dilakukan BN.
Mengulas mengenai pertandingan tiga penjuru yang bakal dihadapinya, Ping Sieu melihat ia sebagai proses demokrasi yang matang dalam memilih pucuk pimpinan parti.
"Saya yakin ahli perwakilan matang dan mereka akan pilih yang terbaik,"
"Saya berpegang pada model BN berbanding DAP yang bercorak perkauman, PAS keagamaan, Pakatan yang baik ke untuk negara kita? Saya risau itu perjuangan rasis dan kebencian yang menjejaskan negara," tambahnya.
Naib Presiden itu bakal berdepan persaingan tiga penjuru termasuk Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan bekas presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat bagi merebut jawatan nombor satu parti MCA itu.
Pemilihan kepimpinan tertinggi MCA ditetapkan pada 21 Disember dengan pencalonan diadakan pada 16 Disember manakala pemilihan sayap Pemuda dan Wanita masing-masing pada 19 dan 20 Disember.
#Gan Ping Sieu #MCA #Pemilihan Kepimpinan Tertinggi MCA
;