GAMIS Nasional kemuka memorandum, kenal pasti 3 masalah utama

Kenyataan Media
Mei 23, 2023 12:11 MYT
GAMIS Nasional menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Negeri Kedah selepas mengadakan perbincangan bersama MPP IPTA dan IPTS di negeri Kedah dan Perlis baru-baru ini. - Foto GAMIS
KUALA LUMPUR: Pada tanggal 20 Mei 2023, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Nasional telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA dan IPTS daripada Kedah dan Perlis.
Tujuan pertemuan ini adalah untuk mengumpulkan isu-isu yang timbul melibatkan mahasiswa secara umumnya dan berfokuskan di negeri Kedah dan Perlis.
GAMIS merumuskan permasalahan-permasalahan yang timbul kepada tiga isu besar utama iaitu:
1) Isu berkenaan kebolehpasaran mahasiswa Kedah dan Perlis,
2) Isu kebajikan mahasiswa IPT di Kedah dan Perlis, dan,
3) Isu yang khusus melibatkan mahasiswi di Kedah dan Perlis.
Sehubungan dengan itu, GAMIS mengeluarkan memorandum ini sebagai suara kami bersama dengan perwakilan MPP yang hadir dalam mencadangkan perkara-perkara yang berikut kepada Kerajaan Negeri Kedah, iaitu:
1) ISU KEBOLEHPASARAN MAHASISWA
Isu kebolehpasaran graduan merupakan antara kebimbangan utama mahasiswa seusai menghabiskan fasa pembelanjaran di kampus. Di UITM kampus Arau, Perlis mencatatkan bahawa 80% graduasi tidak mendapat pekerjaan setelah tamat belajar.
Politeknik kampus Arau juga mencatatkan lebihan kemasukan mahasiswa sebanyak 30% dalam kursus Information Technology (IT) telah mengakibatkan peningkatan pengangguran dalam kalangan graduan.
Hal yang sama berlaku di UNISHAMS mahasiswa kursus perguruan & kehakiman yang meliputi hampir separuh daripada 4000 mahasiswa di kampus tersebut tidak mendapat peluang pekerjaan yang sama selepas tamat latihan industri kerana had yang ditetapkan oleh institusi yang terlibat. Maka dengan itu, kami mencadangkan:
a) Pihak universiti, institusi masjid, GLC dan ADUN perlu menyediakan kuota pekerjaan khusus kepada golongan fresh graduate di samping kerajaan perlu membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang sesuai bagi golongan mahasiswi.
b) Kerajaan negeri memulakan inisiatif Felo Perdana di peringkat negeri Kedah sepertimana yang telah diperkenalkan dibawah Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini.
c) Menyediakan suatu platform rasmi yang mengumpulkan MPP setiap kampus dalam negeri sebagai medan penyaluran maklumat secara langsung kepada pihak kerajaan.
d) Mengusahakan inisiatif pengecualian yuran pengajian kepada mahasiswa yang menjalani latihan industri kerana majoriti mereka tidak lagi menggunakan fasiliti kampus sewaktu tempoh latihan industri.
2) ISU KEBAJIKAN MAHASISWA
Kebajikan mahasiswa merupakan perkara utama yang sering diketengahkan oleh kepimpinan di peringkat kampus, dalam perbincangan dua hala antara GAMIS dan MPP di kampus Negeri Kedah dan Perlis, kami dapati 4 isu kebajikan yang telah dibangkitkan iaitu berkaitan dengan mahasiswa yang menjalani latihan industri tidak memperolehi sebarang elaun mahupun saguhati daripada pihak organisasi, mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan dan tidak dapat makan sepanjang hari, permasalahan kesihatan mental mahasiswa yang semakin meruncing dan harga makanan di kafeteria yang semakin meningkat.
Maka dengan itu, kami mencadangkan:
a) Meletakkan syarat kepada organisasi mahupun syarikat untuk memberi sebarang bentuk saguhati kepada mahasiswa yang menjalani Latihan industri bagi menampung rutin harian sepanjang perjalanan pratikum.
b) Pengagihan zakat yang dikumpul digunakan untuk program foodbank yang mensasarkan pelajar asnaf dan B40 secara konsisten kepada mahasiswa.
c) Mewujudkan klinik psikologi bergerak yang boleh menyantuni pelajar-pelajar yang menghadapi masalah kesihatan mental di kampus-kampus Negeri Kedah.
d) Mewujudkan satu pekeliling penetapan harga syiling kepada pengusaha kafeteria melalui pentadbiran kampus yang berada di bawah kerajaan Negeri Kedah yang sering menaikkan harga sehingga membebankan pelajar.
3) ISU MELIBATKAN MAHASISWI
Dua permasalahan utama berkaitan mahasiswi berdasarkan dapatan perbincangan kami bersama perwakilan pelajar ialah isu kemiskinan haid dan isu gangguan seksual terutamanya melibatkan mangsa atas talian.
Maka, kami mencadangkan:
a) Untuk isu kemiskinan haid yang menghantui mahasiswi, kerajaan negeri perlu menambah item tuala wanita sebagai barang utama dalam inisiatif bantuan
foodbank yang telah sediaada wujud selama ini.
b) Untuk isu gangguan seksual samaada fizikal ataupun secara atas talian, kerajaan negeri seharusnya mengadakan kolaborasi dengan MPP IPT dan Jabatan Hal Ehwal Agama Kampus untuk menggerakkan lebih banyak program berbentuk kesedaran dan penguatkuasaan ke atas kesalahan gangguan seksual yang timbul. Kami amat kesal akan nasib yang ditimpa oleh mangsa-mangsa gangguan seksual di IPT di sekitar Kedah dan Perlis.
Besar harapan kami agar pihak kerajaan negeri Kedah mengambil pertimbangan yang serius akan memorandum kami demi membela nasib mahasiswa khususnya yang menuntut di Kedah dan Perlis.
GAMIS sebagai sebuah gerakan mahasiswa akan terus komited untuk mengangkat suara mahasiswa dalam isu menyentuh kepentingan mereka di hadapan pihak autoriti.
#GAMIS #gangguan seksual #IPT #graduan
;