Gambar tular PM kemalangan disahkan palsu

Madiha Abdullah
Mac 20, 2019 05:43 MYT
Kapsyen yang diberikan untuk gambar tular itu berbunyi: "Kereta bawa PM terbabas semasa keluar daripada sidang parlimen dan PM cedera ringan. - Facebook
Sekeping gambar yang memaparkan kejadian kemalangan dan didakwa melibatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, disahkan palsu.
Gambar yang tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp pada Rabu itu menunjukkan sebuah kereta yang remuk akibat merempuh pintu pagar.
Turut disertakan bersama gambar itu adalah kapsyen: "Kereta bawa PM terbabas semasa keluar daripada sidang parlimen dan PM cedera ringan."
Menerusi akaun Facebook, Pegawai Media Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin mengesahkan bahawa berita itu tidak benar.
"Tun M berada di pejabat selepas pulang dari Parlimen dan menerima delegasi dari Sepanyol dan berada di pejabat ketika post ini ditulis," kata Adam dalam postingnya pada 2.01 petang Rabu.
Lewat petang Rabu, Dr Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Bersatu, turut dilaporkan telah selesai mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Perdana Putra, Putrajaya.
#Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin #Facebook #kemalangan #kereta #Mahathir Mohamad #palsu #Parlimen #PM #PPBM #terbabas
;