Gambar tular kes COVID-19 dari rumah panjang palsu - Charles Siaw
Khairuddin Rushdi Ayuphan
Januari 10, 2021 13:03 MYT
Januari 10, 2021 13:03 MYT
SIBU: Dua keping gambar tular yang menunjukkan keadaan pusat kuarantin di Dewan Suarah Sibu, semalam adalah palsu.
Dalam satu hantaran di Facebook, gambar yang tular itu dikatakan pusat kuarantin bagi penduduk rumah panjang di Pasai Siong, Sibu yang dikesan positif COVID-19.
Dua keping gambar yang palsu itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sibu, Charles Siaw ketika dihubungi Astro AWANI.
"Saya ingin mengesahkan gambar tular di sosial media mengenai pusat kuarantin Dewan Suarah, Sibu yang dikatakan menempatkan pesakit positif COVID-19 dari rumah panjang adalah palsu.
"Saya berharap semua pihak bertanggungjawab dan tidak menyebarkan berita palsu. Pada ketika ini, fokus utama adalah untuk membanteras penularan COVID-19 dan bukannya memberi keutamaan kepada berita palsu," katanya kepada Astro AWANI.
Selain itu, Charles berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan terkini dan tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Stadium Tertutup Sibu sebagai pusat kuarantin sekiranya kes meningkat secara mendadak.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di Dewan Suarah, Sibu mendapati suasana lengang dan tiada penghuni.