Gambar tular bukan tapak kaki harimau belang
Sinar Harian
Disember 21, 2022 12:27 MYT
Disember 21, 2022 12:27 MYT
SEREMBAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan mengesahkan tapak kaki didakwa harimau belang yang tular di kumpulan WhatsApp bukan tapak kaki haiwan pemangsa itu.
Pengarahnya, Nurul Ermi Ramli berkata, ia berdasarkan siasatan yang dijalankan pihaknya di lokasi penemuan tapak kaki tersebut berhampiran sebuah kampung di Batu Kikir, Jempol.
"Pihak jabatan telah ke lokasi seterusnya berjumpa dengan individu yang mendakwa tapak kaki itu adalah harimau belang dan dia memaklumkan hanya membuat anggapan ia milik haiwan itu.
"Siasatan mendapati bahawa tapak tersebut adalah tapak spesies binatang lain dan sehingga kini tiada individu yang tampil membuat aduan kepada jabatan (Perhilitan)," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.
Sebelum ini tular gambar dan pesanan suara yang tersebar di WhatsApp mengenai tapak kaki yang didakwa milik harimau belang di sebuah kampung di Jempol sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Bagaimanapun, Nurul Ermi menegaskan pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya dan melakukan siasatan lanjut selain meneruskan pemantauan di kawasan sekitar.
"Selain itu, berdasarkan rekod jabatan pada tahun ini tiada laporan berhubung penemuan harimau belang sebaliknya kita menerima 14 aduan mengenai harimau kumbang, tetapi ada yang berasas dan ada yang tidak berasas.
"Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi terus Perhilitan bagi mendapatkan maklumat sahih supaya ia tidak menimbulkan suasana panik," katanya. -Sinar Harian
#tapak kaki harimau
#Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
#Nurul Ermi Ramli
#Batu Kikir Jempol