Gambar profil FB Zii Jia ditukar kepada hitam, beberapa jam selepas keputusan BAM

Ridauddin Daud
Januari 21, 2022 19:44 MYT
Gambar profil terbaharu Zii Jia yang baru saja ditukar sekitar sejam lalu, beberapa jam selepas BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan beliau dalam sebarang pertandingan antarabangsa.
KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia dilihat menukar gambar profil di Facebook beliau kepada hitam sekitar sejam lalu.
Pertukaran itu dibuat hanya beberapa jam selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk tidak mendaftarkan beliau dalam sebarang pertandingan antarabangsa melibatkan negara berkuat kuasa 18 Januari lalu.
Dalam sidang media pada Jumaat, Timbalan Presiden 2 BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, penggantungan itu akan berjalan selama dua tahun.
[TERKINI] Sidang media Persatuan Badminton Malaysia
Meskipun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Zii Jia setakat ini, namun, melihat kepada keputusannya menukar gambar profil sebegitu, ia secara tidak langsung menggambarkan pemain itu kecewa dengan keputusan BAM.
Di laman media sosial pemain itu, rata-rata penyokong Zii Jia turut sama ‘berduka’ dan tidak putus-putus melontarkan kata-kata semangat buat anak kelahiran Kedah itu.
Bahkan, tidak sampai dua jam pertukaran gambar profil itu, sudah lebih 30,000 pelbagai reaksi diberikan warganet dan lebih 4,000 komen dimuat turun di status tersebut.
Kebanyakannya berbentuk sokongan moral kepada Zii Jia, antaranya:
"(Nurul Huda Muhammad)
You said that you will fight for what you want and I am sure that you will. Hang in there a bit pls. (Anda kata anda akan lawan untuk apa anda mahukan dan saya pasti, anda akan lakukannya. Tolong terus bertahan)
(Yap Yen Chien)
We support you against the big bully. (Kami sokong anda menentang pembuli besar itu)."
BACA: Faizal Azumu akan bertemu BAM dan Lee Zii Jia
BACA: Saya keluar BAM bukan kerana wang ringgit - Zii Jia
Komen daripada warganet juga berkisar kepada rasa tidak puas hati terhadap keputusan BAM dan mendoakan Zii Jia berjaya, walaupun tidak bersama persatuan itu.
Keputusan dibuat BAM menyaksikan Zii Jia mungkin terlepas untuk bertanding dalam Sukan Sea sedangkan beliau merupakan antara prospek emas negara.
Begitupun, Jahaberdeen menegaskan masih ada ruang buat Zii Jia mengemukakan rayuan dan BAM mungkin memberi masa beberapa bulan untuk melakukan sedemikian.
#Lee Zii Jia #BAM #badminton #gantung
;