Gambar palsu PM: Mohd Fahmi Reza fail permohonan batal pertuduhan

Bernama
September 5, 2016 17:23 MYT
Mahkamah Tinggi menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes yang melibnatkan Mohd Fami Reza itu. - Gambar fail
Seorang pereka grafik didakwa memuat naik gambar palsu perdana menteri di akaun Instagramnya, Januari lepas, memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi.
Peguam Syahredzan Johan, yang mewakili Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 39, demikian ketika kes itu disebut di Mahkamah Siber di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor di sini hari ini.
Syahredzan berkata pihaknya memfailkan permohonan itu pada 17 Ogos lepas atas alasan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah tidak berperlembagaan.
Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Sept ini untuk sebutan semula kes itu.
Justeru, Syahredzan memohon agar perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula hari ini di Mahkamah Siber digantung sementara menunggu keputusan permohonan di Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan Syahredzan.
6 Jun lepas, Mohd Fahmi Reza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memuat naik gambar palsu perdana menteri bertujuan menyakitkan hati orang lain, di akaun Instagramnya.
didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Instagram 'kuasasiswa' di suatu pautan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 31 Jan lepas.
Pautan itu kemudian didakwa telah dibaca di satu alamat di Bandar Bukit Puchong 2, Puchong, Selangor, pada 6 petang, 1 Feb lepas.
Mohd Fahmi Reza, yang juga merupakan seorang aktivis, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksmimum RM50,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
#aktivis #gambar PM #kes mahkamah #Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin #Syahredzan Johan
;