Gambar Agong santap roti tempayan di gerai curi tumpuan
Farhana Joni
Jun 15, 2020 16:30 MYT
Jun 15, 2020 16:30 MYT
Bukan hanya terkenal dengan sikap yang prihatin bahkan, baginda juga tidak kekok menjalani kehidupan yang santai.
Demikian keperibadian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah yang lazimnya digambarkan oleh rakyat jelata.
Sebelum ini, sudah beberapa kali, baginda mencemar duli turun dari kenderaan rasmi semata-mata ingin memeriksa dan bertanya khabar keadaan mangsa kemalangan walaupun ketika hujan lebat.
Lebih membuatkan rakyat berasa sangat bangga ialah apabila baginda sanggup turun padang melihat sendiri bagimana pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan sekatan jalan raya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.
Dan hari ini pula, Al-Sultan Abdullah menikmati santapan roti tempatan di sebuah gerai di Pekan, Pahang pula mencuri tumpuan ramai warga maya.
Manakan tidak, Al-Sultan Abdullah kelihatan begitu santai dan tidak kekok duduk di atas kerusi plastik serta menggunakan pinggan-mangkuk yang disediakan di gerai itu.
Tiga keping gambar Baginda yang dikongsikan menerusi Instagram Istana Negara itu mendapat tanda suka sebanyak 31,190 selepas tiga jam disiarkan.
"Semasa dalam perjalanan dari Program Ziarah Kurniaan Ampun Kasih ke Kompleks Asnaf MUIP, Sungai Soi, Pahang, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkesempatan singgah menikmati santapan roti tempayan di Daerah Pekan, Pahang," tulis status tersebut.
Beberapa warga maya antaranya Sherry Alhabshi menulis "Bangga saya sebagai rakyat Pahang".
Seorang lagi menggunakan nama Riekadier pula gembira dengan sikap merendah diri Baginda.
Kata Zakaria Ibrahim pula; "Terbaik Tuanku, cek (saya) tabik spring Tuanku dari muda-muda dulu lagi. Memang juruh (berbudi bahasa dan baik)," tulisnya.
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah
#gerai
#Istana Negara
#Pekan Pahang
#roti tempayan
#Yang di-Pertuan Agong