Galeri Rundingan Baling rosak akibat ditimpa pokok tumbang

Adie Sufian Zulkefli
Januari 9, 2021 22:00 MYT
Galeri itu boleh menjadi tempat tarikan pelancong dari dalam dan luar untuk melihat sendiri sejarah berkaitan Rundingan Baling. Gambar/ Ihsan pembaca
BALING: Bangunan Galeri Putera di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera yang menjadi lokasi Rundingan Baling pada 1955, bukannya dibiarkan usang tetapi mengalami kerosakan selepas bumbungnya terkena pokok tumbang April lalu.
Akibat kejadian itu, struktur bumbung galeri rosak teruk sehingga mendedahkan ruang pameran yang menempatkan peralatan sejarah serta bilik yang menjadi tempat rehat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan Rashid Maidin.
Galeri Rundingan Baling rosak akibat ditimpa pokok tumbang
Menurut Timbalan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVTM), Othman Ahmad, timbul kekeliruan kerana lokasi pertemuan Rundingan Baling antara Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng adalah di bilik darjah yang masih digunakan pelajar sehingga kini.
Jelasnya, bangunan Galeri Putera adalah blok berlainan yang terletak berhampiran bilik darjah berkenaan yang menjadi tempat Chin Peng dan Rashid berehat sepanjang rundingan diadakan.
Katanya, apa yang ditularkan dalam media sosial mengenai bangunan lokasi Rundingan Baling berlangsung rosak dan terbiar adalah tidak tepat.
Sebaliknya hanya bangunan Galeri Putera yang rosak kerana ditimpa pokok.
Beliau bagaimanapun berkata bahan tinggalan sejarah di dalam bangunan berkenaan tetap mempunyai nilai sejarah yang perlu dipelihara agar dapat dilihat generasi akan datang.
"Saya mohon pihak kementerian yang berkenaan, kalau boleh ambil tindakan dan perbaiki tempat-tempat yang bersejarah tidak kira di tempat ini atau di tempat lain.
"Saya sebagai anggota PVTM berharap supaya pihak yang berkenaan mengambil tindakan supaya menjaga tempat-tempat yang bersejarah terutama tempat sejarah berkenaan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri yang mula-mula sekali membuat persidangan di tempat ini," katanya.
Ketua Cawangan PVTM Baling, Rahim Ismail pula berpendapat, sebaiknya galeri itu diserahkan kepada PVTM untuk menjaganya kerana mereka lebih tahu menghargai nilai sejarah yang terdapat di dalamnya.
"Elok dijaga oleh veteran Baling, kita jaga untuk mereka memahami apa konsep keselamatan dan memahami perundingan Chin Peng dengan Tunku Abdul Rahman. Ini tempat bersejarah," jelasnya.
Kejadian yang berlaku turut dikesali Yoong Hai, 30, pelancong dari Kuala Lumpur, yang datang untuk menyaksikan tempat bersejarah sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Jelasnya, galeri itu boleh menjadi tempat tarikan pelancong dari dalam dan luar untuk melihat sendiri sejarah berkaitan Rundingan Baling.
"Saya rasa kalau boleh buat satu promosi sikit, selepas itu dimaklumkan kepada generasi baru sebab ramai mereka memang tidak tahu apa Rundingan Baling, peristiwa Memali dan sebagainya," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata sejumlah RM250,000 telah diluluskan kerajaan bagi melakukan kerja pembaikan Galeri Putera yang rosak.
Menurut beliau, kerja baik pulih bangunan ini dapat dimulakan selewat-lewatnya Mac depan selepas proses tender dilakukan.
Beliau juga akan berjumpa Jabatan Warisan Negara bagi memohon agar Galeri Putera dijaga sepenuhnya PVTM.
#galeri putra #Angkatan Tentera Malaysia #tentera #media sosial #pelancong #terbiar #rosak #ditimpa pokok #Pokok tumbang
;