Galeri Raja Reman perlu dipulihara, elak keunikan sejarah Hulu Perak lenyap
Aida Aziz
Jun 12, 2023 09:50 MYT
Jun 12, 2023 09:50 MYT
PENGKALAN HULU: "Ate (hatta, habis tu), kome (dua orang atau lebih), miker (kau) dan teman (aku) termasuk watak drama tempatan lakonan Ellie Suriaty yang masih melekat di ingatan orang ramai hingga kini iaitu Pah Bedah."
Juga tidak ketinggalan loghat Perak yang dibawa dalam filem garapan Allahyarham Mamat Khalid ketika hayatnya.
Itu antara perkara yang sering diperkatakan orang ramai apabila bercakap mengenai negeri Perak, khususnya loghat atau dialek tersebut.
Tetapi masih ramai yang terlepas pandang bahawa negeri yang luas dan kaya dengan sumber alam semula jadi ini mewah dengan lambakan dialek di setiap daerah tertentu.
Malah, dialek atau cara pertuturan itu juga ada kaitan dengan sejarah tempat sesuatu kawasan, pemerintahan terdahulu dan jajahan asing.
Bagaimanapun, topik yang mahu dikupas bukan berkenaan dialek Perak, tetapi kisah Raja Reman dan galerinya yang terdapat di Pengkalan Hulu sekarang.
Pun begitu, ada kaitannya dialek Patani yang sinonim di situ dengan pemerintahan kerajaan tersebut, boleh dikatakan dialek di situ sama dengan yang ditutur sebilangan penduduk di Batu Kurau.
Seperti semua sedia maklum, Pengkalan Hulu atau dahulunya dikenali sebagai Kroh, terletak di sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Thailand, selain kedudukannya dekat sempadan Perak dan Kedah.
Siapa Raja Reman? tentu masih ada yang kurang tahu mengenai salasilah keturunan kerajaan Melayu Patani sewaktu abad ke-19 di Hulu Perak, di mana pemerintahan itu bertahan hampir 100 tahun.
Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, dipercayai reman diambil daripada perkataan rahman.
Ada pendapat lain mengatakan nama reman berasal daripada bahasa Melayu Patani iaitu rama yang bermaksud 'satu perhimpunan besar'.
"Mengikut sumber dari buku Hulu Perak ada cerita tentang kawasan di sini pernah dikuasai oleh kerajaan Reman. Ia bermula awal abad ke-19 apabila seorang kerabat raja Patani iaitu Tuan Tok Nik Tok Leh angkat dirinya sebagai raja di Reman.
"Reman ini sebenarnya sebahagian daripada wilayah Patani, ketika itu kerajaan ini mula berpecah akibat tekanan dari Siam, jadi ada wilayahnya yang menubuhkan kerajaan sendiri.
"Kerajaan ini terletak bersempadan dengan Hulu Perak di Klian Intan yang ada kawasan perlombongan bijih timah, kawasan ini menjadi rebutan antara kerajaan Perak dan Reman.
"Justeru berlaku beberapa siri peperangan dan menyebabkan sebahagian besar kawasan Hulu Perak jatuh di tangan kerajaan Reman, antara kesan jajahan yang boleh dilihat iaitu Rahman Hyraulic Tin, perlombongan lebih 100 tahun itu masih dijalankan sampai sekarang," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Difahamkan selain Tuan Tok Nik Tok Leh, pemerintahan keturunan Raja-Raja Reman terdiri daripada Tuan Nik Ulu (1849-1867), Tuan Timur (1867-1875) dan Tuan Jagung (1875-1901).
Katanya, kerajaan Reman juga meluaskan lagi kawasan perlombongan bijih timah dari hilir sehingga hulu Sungai Rui.
Perkampungan Siam di hulu Sungai Rui dikenali sebagai Kampung Pong diwujudkan bagi menempatkan orang Siam yang dibawa masuk oleh mereka untuk mengusahakan lombong bijih timah di Klian Intan.
Nor Hisham menambah, hingga hari ini Hulu Perak didiami ramai orang Melayu keturunan Patani yang memiliki adat istiadat dan dialek tersendiri.
"Kesan hampir 100 tahun itu dapat dilihat menerusi bahasa dialeknya, masyarakat Siam Cina menetap di sini dan masih banyak pengaruh Selatan Thailand di sini," katanya lagi.
Sementara itu, menyentuh tentang galeri atau Istana Singgah Raja Reman yang diwujudkan oleh warisnya di Kampung Selarong, beliau berkata, sokongan banyak pihak diperlukan bagi membantu memulihara sejarah di sini.
Ujar pengkaji sejarah ini lagi, walaupun usaha telah pun digembleng oleh waris Raja Reman, namun pihak seperti Jabatan Warisan, kerajaan negeri dan pihak pelancongan sebolehnya sama-sama memastikan bahan warisan ini tidak lenyap.
"Bekas kediaman Raja Reman ini dijadikan sebagai Galeri Raja Reman, asalnya dikatakan ia merupakan sebahagian istana Raja Reman.
"Galeri atau Istana Singgah Raja Reman ini masih dijaga warisnya, mereka sentiasa terbuka untuk menerima kunjungan tetamu, menurut salah seorang waris iaitu Roslan, ia mula dibuka pada tahun 2018.
"Mereka mulakan usaha buka galeri kepada pelawat apabila Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berangkat ke sini.
"Selain itu usaha berterusan dilakukan bagi memulihara rumah tersebut, ada beberapa bahagian galeri itu sudah rosak dan mereka berharap pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan warisan turun lihat dan bantu," katanya lagi.
Sementara itu, beliau mewakili pihak persatuan turut mengharapkan supaya tindakan dapat diambil secepat mungkin untuk memastikan kekayaan warisan di sini tidak hilang.
"Ada artifak sejarah yang dapat diselamatkan dipamerkan di sini, salasilah keluarga dan gambar-gambar lama, surat berkaitan perlombongan bijih timah di Pengkalan Hulu.
"Di sini juga ada perigi, makam isteri Raja Reman terakhir serta tasik yang dahulunya menjadi lokasi gajah-gajah raja tersebut mandi.
"Harapan kami supaya tinggalan Raja Reman, istana ini dan batu sempadan yang ada dapat dipulihara sebaiknya, harapnya agensi kerajaan dapat bantu waris kerana mereka pun kurang kepakaran berhubung hal promosi dan mewartakan sebagai warisan," katanya.
Beliau turut memuji usaha Majlis Daerah Pengkalan Hulu yang sudah mula mengorak langkah dengan mempromosikan kawasan tersebut.
"Lebih baik jika ada papan tanda ke sini bagi memudahkan pengunjung datang, sebab rugilah kerana ia berpotensi jadi produk pelancong, ditambah pula ia dekat dengan pintu sempadan masuk ke Perak," katanya lagi.