Galak orang naik basikal, tapi tiada tempat parkir
Israr Khalid
Februari 19, 2017 14:59 MYT
Februari 19, 2017 14:59 MYT
Inisiatif menggalakkan orang ramai membudayakan basikal sebagai medium pengangkutan alternatif, hanya usaha separuh jalan jika tidak disertai pembangunan kemudahan berkaitan dengannya.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mewujudkan laluan khas basikal di sekitar ibu kota, malah seruan membentuk gaya hidup sihat dan hijau itu turut membawa kepada penganjuran acara KL Car-Free Morning di Kuala Lumpur pada hari Ahad minggu pertama dan ketiga setiap bulan.
Namun, satu perkara yang tertinggal adalah fasiliti paling penting iaitu tempat parkir.
Seusai acara KL Car-Free Morning pagi tadi, kira-kira 50 orang penunggang basikal berkumpul di hadapan Bangunan DBKL Jalan Raja Laut, masing-masing mengenakan pakaian hitam.
Secara aman, mereka duduk sambil mempamer kain rentang dan plakad protes terhadap perkara yang disifatkan mereka kegagalan DBKL mewujudkan ekosistem yang memudahkan golongan berbasikal.
“Setiap kali kami nak parkir basikal mesti mengalami kesulitan sebab tiada tempat parkir. Apa yang berlaku kepada salah seorang kawan kami ialah basikalnya disita DBKL dan basikalnya mengalami kerosakan daripada itu. Itu yang mencetuskan perhimpunan kami hari ini.
“Ini bukan caranya, ini salah DBKL kerana tak sediakan tempat parkir basikal. Untuk mewujudkan budaya berbasikal, sepatutnya mereka menjadikan ia mudah,” kata Akmal Azfar Abd Mutalib, penganjur perhimpunan tersebut yang dinamakan ‘Sit Down 1.0.’
Beberapa hari lepas, cerita tentang seorang penunggang basikal bernama Khirrunizam Mohd Lani yang rosak basikalnya selepas disita DBKL giat dikongsi di laman Facebook.
Khirrunizam meletak basikalnya di hentian bas dekat Wisma Central sebelum diangkut penguatkuasa DBKL, selain turut difahamkan dikenakan denda.
Kata Akmal, kes itu bukan yang pertama tetapi ramai rakan berbasikalnya pernah disita basikal mereka atas sebab diletakkan di tempat tidak sepatutnya serta mengganggu lalu lintas.
Kegagalan ini jelasnya hanya akan menjadikan usaha menggalakkan warga kota berbasikal satu usaha yang sia-sia.
“Kebanyakan bangunan tidak membenarkan basikal masuk, malah nak parkir di depan pun tidak boleh dan ada juga kawan-kawan yang berbasikal ke tempat kerja tidak boleh meletak basikal mereka di pejabat mereka sendiri. Akhirnya mereka yang awalnya semangat untuk berbasikal putus asa kerana hal-hal sebegini.
“Sepatutnya DBKL galakkan malah boleh wajibkan semua bangunan di Kuala Lumpur ada tempat parkir basikal. Ini perkara yang perlu ditambah baik untuk menjadikan berbasikal itu mudah dan lebih ramai orang akan memilih untuk berbasikal,” tegasnya.
Ambil serius
Hasrat itu berjaya mereka sampaikan Akmal kepada Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, Datuk Mohd Najib Mohamad dalam pertemuan yang diadakan pagi ini.
Hasil pertemuan, Akmal memaklumkan bahawa perkara itu akan diambil serius pihak DBKL, malah berjanji akan mewujudkan tempat parkir basikal di tempat-tempat tumpuan secepat mungkin.
Tambah Akmal lagi, mereka tidak mahu meminta kelonggaran seperti boleh meletak basikal di mana-mana sahaja kerana ia akan menyumbang kepada pemandangan yang tidak cantik apabila basikal yang diparkir akhirnya ditinggalkan tanpa diketahui pemiliknya.
“Datuk Najib kata mereka faham dan pihak DBKL secara praktikal ketika ini sedang buat peringkat pertama infrastruktur iaitu di stesen-stesen kereta api.
“Kami harap DBKL bertindak spertimana dijanjikan untuk menjadikan lebih ramai orang berbasikal. Bukan sekadar one-off program kerana ia tidak akan membantu dalam mewujudkan budaya berbasikal dengan berkesan.”