#GajiAwal: 'Penjawat awam perlu rancang, kawal perbelanjaan - Cuepacs
Hamzah Hamid
Jun 30, 2015 13:20 MYT
Jun 30, 2015 13:20 MYT
Keluhan sesetengah penjawat awam tentang tempoh jarak antara dua tarikh penerimaan gaji selama 46 hari tidak akan mengubah apa-apa kecuali mereka sendiri dapat merancang kewangan dengan lebih berdisiplin.
Peringatan itu disampaikan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.
"Mengenai golongan penjawat awam yang terpaksa menunggu jarak tempoh antara dua gaji iaitu 9 Julai yang dilepaskan sebelum sambutan hari raya dan gaji seterusnya yang dibayar pada 25 Ogos, mereka perlu bijak menyusun kewangan mereka.
"Oleh kerana gaji dibayar awal, mereka perlu lebih berdisiplin untuk menguruskan perbelanjaan. Hari perayaan nanti wang akan diguna untuk keperluan keluarga, membayar bil kemudahan asas serta menanggung kos sampingan lain," kata Azih ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurutnya, wang gaji yang mereka terima pada 9 Julai janganlah dihabiskan kerana mereka perlu menyimpan untuk digunakan selepas perayaan.
"Jika tidak merancang dengan baik, mereka akan menghadapi kesulitan," ujar beliau yang berpesan agar penjawat awam beringat dan berjimat.
Azih memberitahu, keadaan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan Cuepacs tidak boleh mengubahnya.
"Sekiranya perkara sebegini berlaku saban tahun, ia mungkin boleh diselaraskan dengan pusingan sistem pembayaran gaji atau cadangan penyelarasan lain.
"Keadaan ini harus diterima oleh golongan penjawat awam. Jika selama ini pihak lain termasuk Cuepacs telah membantu dalam perancangan kewangan mereka, kali ini mereka perlu merancang buat diri sendiri," tambahnya.
Sementara itu, Azih memberitahu bahawa Cuepacs tidak merancang untuk mengetengahkan cadangan sistem penggajian dua kali sebulan bagi penjawat awam.
"Ini berikutan kaedah pembayaran gaji sekali sebulan yang ada sekarang sudahpun mengikut sistem pemotongan bagi tujuan tertentu seperti PTPTN dan beberapa jenis pinjaman lain.
"Sistem gaji dua kali sebulan tidak mungkin berlaku buat masa ini kerana ia tidak selaras dengan jadual pemotongan gaji bagi tujuan-tujuan tersebut," jelas beliau.
BACA: #GajiAwal: Apa langkah terbaik untuk selamatkan gaji Ogos yang diterima awal?