Gaji rendah punca kekurangan pekerja di restoran

Dagang News
Julai 5, 2022 11:10 MYT
Ramai anak muda semakin tidak bertahan lama dalam industri makanan dan minuman (F&B) kerana gaji rendah. - Gambar hiasan
KEKURANGAN pekerja dalam sektor makanan dan minuman kini berada dalam peringkat kritikal.
Anda lihat sendiri bila mengunjungi mana-mana restoran. Dan ini akan menyebabkan tekanan kepada kedua-dua belah pihak serta pelanggan.
Mengapa kritikal? Jawapannya tidak susah dicari. Ia berkaitan satu sebab dan sebab itu ialah `gaji yang tidak setimpal dengan skop kerja'. Ramai anak muda semakin tidak bertahan lama dalam industri tersebut.
Saban hari, ada saja isu yang tidak enak didengari oleh anak-anak muda yang dikata `malas dan memilih pekerjaan' sedangkan punca sebenar ialah kerja yang tidak setimpal dengan gaji bahkan mereka terpaksa pula melakukan pelbagai kerja tambahan disebabkan kekurangan pekerja.
Tular di laman sosial bahawa di mana anak muda lepasan SPM, diploma dan ijazah yang menganggur. Tetapi pada masa yang sama, dilaporkan pula banyak industri tidak cukup pekerja.
Bila iklankan kekosongan kerja, tidak ramai memohon bahkan masalah itu turut dirasai dalam sektor ekonomi gig misalnya, Grab juga merungut tidak cukup pemandu serta rider penghantar makanan.
Menurut seorang pengusaha makanan di medan selera di sebuah pasar raya, kekurangan pekerja dapat dirasai ketika ini kerana perlu menyediakan makanan pada masa yang sama perlu melayan pelanggan.
Sektor makanan dan minuman adalah sektor di mana pekerja perlu bekerja pada hari orang lain bercuti. Jadi bila bercuti, mereka akan datanglah bersantai, makan dan minum.
Faktor kerja banyak dan waktu melampau, mendorong anak muda beralih menjadi usahawan, penghantar makanan melalui aplikasi disebabkan kerja yang lebih fleksibel serta gaji yang lumayan dibandingkan dengan kerja yang terikat dengan masa, pengurusan yang tidak seimbang dan pihak atasan yang tidak mempeduli kebajikan pekerja.
Baca rungutan individu ini yang diperoleh daripada sebuah laman di Facebook:
Salah satu permasalahan utama yang menjadi faktor kekurangan tenaga kerja anak muda apabila berlakunya sikap ‘kaki kipas’ dalam kalangan pekerja lama untuk berebut faedah-faedah tertentu atau menaikkan pangkat, jawatan yang diimpikan tanpa menghiraukan sikap profesionalisme dalam bekerja juga tidak memberi peluang kepada anak muda untuk menikmati faedah-faedah tertentu demi kepentingan diri sendiri.
Menurut seorang pengguna Facebook yang dikenali Zuraidah Abdol Molop dalam ruangan komen, beliau menceritakan pengalaman anaknya bahawa:
“Ramai rata-rata yang komen mengecam anak muda. Saya seorang ibu, melihat sendiri anak saya bekerja di sektor makanan & minuman, kerja dari pukul 8:30 pagi hingga 12:30 tengah malam. 7 hari seminggu hanya sebulan 2 hari sahaja cuti. Anak saya tidak ada ‘life’ seperti zombi. Fikir-fikirkanlah. Tidak ada ‘life’ bukan bermaksud berjimba ya tetapi nak rehat pun tidak sempat bahkan solat Jumaat pun ke laut”.
Dalam sebuah tangkap layar di bawah menceritakan bagaimana zaman kini anak muda menginginkan kerja yang kebebasan masa tanpa terikat dengan waktu yang kompleks tetapi gaji yang tidak setimpal serta mereka mahu menjadi majikan kepada diri sendiri.
Justeru, pihak pengurusan sesebuah syarikat makanan dan minuman perlu mengamalkan sikap profesionalisme dan tindakan proaktif kepada semua golongan di dalam syarikat tersebut.
Di samping itu, inisiatif yang lebih berkesan juga diperlukan untuk menangani permasalahan dalaman agar tidak berlaku masalah kronisme dan penindasan golongan bawahan dan anak muda dalam mencari pengalaman bekerja. - DagangNews.com
* Penulis ialah Irfan Shauqi Shamsul Jamili, pelajar Komunikasi Media Baharu, USIM
#gaji rendah #pekerja restoran #kekurangan pekerja #tekanan
;