Gaji rendah jadi cabaran untuk pelajar sambung belajar- Radzi

Abd Hadi Che Awang
Ogos 7, 2022 15:53 MYT
Mohd Radzi memberi penerangan ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Kebangsaan Bohor Jaya hari ini. - Foto BERNAMA
LANGKAWI: Kadar gaji yang masih rendah serta tidak berubah sejak beberapa tahun yang lalu menjadi antara cabaran untuk memastikan pelajar menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi selepas tamat tempoh pembelajaran peringkat menengah.
Sehubungan itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Jidin mencadangkan Kerajaan Persekutuan untuk memberi lebih tumpuan kepada proses pembinaan ekonomi bernilai tinggi yang dilihat mampu menjadi penyumbang utama kepada pendapatan lebih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Antara cabaran yang kita hadapi adalah isu struktural, (dimana kita lihat) apa yang berlaku (dan) dalam konteks ini, kita lihat gaji kita agak 'stagnant for the past years', yang mana kos sara hidup meningkat, inflasi dari tahun ke tahun ada kadar inflasi meningkat.
"Maka apabila anak-anak ini masuk ke ruang pekerjaan mereka berasakan bahawa kadang-kadang belajar pun gajinya tidak tinggi, itu cabaran yang kita hadapi (dan perlu diselesaikan)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan gimik Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bohor Jaya di Kedawang, Langkawi pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Radzi memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan melaksanakan proses latihan secara menyeluruh kepada guru-guru dan kaunselor bagi menanam minat pelajar secara semula jadi daripada sistem persekolahan ketika ini.
Ia adalah bagi memastikan pelajar-pelajar yang ada tidak tertinggal khususnya dari konteks sains dan teknologi yang mana akan memberi kesan besar kepada negara pada masa akan datang
"We’re working to dissect the data to the next level, nak lihat secara lebih terperinci berkaitan data (berhubung pelajar tidak minat meneruskan pengajian), perincian data ini penting, sebarang tindakan adalah berdasarkan perincian data.
"Tetapi pada pihak kita, kita akan sentiasa pastikan anak-anak ini dapat bersaing, kalau mereka terus terkebelakang sebagai contoh dalam konteks sains dan teknologi, kalau mereka terus terkebelakang, minat untuk teruskan dalam bidang profesional sains dan teknologi ini tidak ada, maka negara akan menghadapi satu cabaran pada masa yang akan datang," katanya lagi.
Terdahulu, dilaporkan bahawa kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran.
Walaupun data tersebut adalah dari tahun 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.
Mengikut data kajian tahun 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan namun selepas keputusan, hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian manakala bakinya 390,000 telah memasuki pasaran kerja.
Tiga faktor utama mereka yang berusia 17 hingga 18 tahun tidak minat menyambung pelajaran ialah banyak peluang pekerjaan menerusi platform gig, terpengaruh menjadi pempengaruh di media sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik.
#Kementerian Pendidikan #Radzi Jidin #SPM #gaji rendah #Langkawi
;