Gaji progresif perlu seiring gaji minimum, pelengkap sistem gaji di Malaysia - Pakar
Afiezy Azaman
Julai 28, 2023 19:30 MYT
Julai 28, 2023 19:30 MYT
KUALA LUMPUR: Model gaji progresif bukanlah untuk menggantikan model gaji minimum yang telah dilaksanakan di Malaysia, sebaliknya ia perlu menjadi pelengkap kepada satu sistem gaji yang ideal.
Usaha kerajaan untuk mengkaji pelaksanaan Model Gaji Progresif di Malaysia adalah wajar bagi memastikan peningkatan kualiti hidup dan kemahiran terutamanya kepada pekerja separa mahir.
Ketua Ekonomi Buruh, Kementerian Sumber Manusia dan Emiratis, UAE, Prof Madya Mohd Yusof Saari berkata, isu utama berkaitan gaji di Malaysia adalah majikan cenderung menggunakan gaji minimum dalam menetapkan gaji pekerja.
“Seolah-olah kalau gaji minimum kita letakkan RM1,500 untuk pekerja hari ini, tahun depan pun RM,1500, tahun lagi satu pun RM1,500 kecuali kalau ada perubahan gaji minimum.
“Jadi dia tidak fokus, sepatutnya tahun ini gaji dia RM1,500, tahun depan mungkin dinaikkan kepada RM1,700 dan tahun berikutnya mungkin meningkat jadi RM2,000.
"Itu yang dimaksudkan dengan gaji progresif,” katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat.
Pada 13 Julai lalu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) berpandangan model gaji progresif yang digunakan di kebanyakan negara amat baik dalam meningkatkan produktiviti pekerja di samping merangsang pertumbuhan ekonomi.
Bagaimanapun, menterinya, V Sivakumar berkata, ia perlu dilihat secara menyeluruh sebelum dilaksanakan di negara ini.
Sementara itu, Mohd Yusof berkata, data dicerap berkaitan gaji pekerja di Malaysia menunjukkan kebimbangan terutamanya melibatkan pekerja separa mahir.
“Gaji pekerja yang berkemahiran tinggi memang tinggi, peningkatannya lebih kurang 5 peratus dari 2010 hingga 2021 secara puratanya, manakala gaji pekerja separa mahir peningkatannya 3 peratus dan pekerja kurang berkemahiran pula peningkatan gaji 6.1 peratus.
“Jadi jika simpulkan ketiga-tiga peringkat pekerja ini, jurangnya semakin rapat.
"Indikasinya adalah tidak guna seseorang individu belajar tinggi, masuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sebagainya jika akhirnya gaji dia sama dengan mereka yang berpendidikan rendah iaitu kategori pekerja yang berkemahiran rendah,” ujarnya.
Jelas Mohd Yusof lagi, pelaksanaan model gaji progresif juga akan memberikan situasi menang-menang antara majikan dan pekerja di Malaysia.
“Gaji progresif ini datang sekali dengan pakej peningkatan kerjaya dan produktiviti. Maksudnya jika gaji naik 10 peratus, 10 peratus itu akan diterjemahkan juga dengan peningkatan produktiviti.
"Ini sekali gus tidak akan membebankan majikan,” katanya.