Gaji progresif iktiraf pekerja berpengalaman, berkemahiran - MTUC

Hasimi Muhamad
Mei 19, 2023 21:40 MYT
Dr Elya Nabila, Mohd Effendy dan Irwin tampil dalam program Dialog Poket Rakyat di Astro AWANI pada Jumaat.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji progresif akan membolehkan majikan mengiktiraf pekerja yang berpengalaman, berkemahiran serta berkelayakan, kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani.
Jelasnya, sudah tiba masa untuk kerajaan melaksanakan pembaharuan dalam sistem penggajian negara.
"Bukanlah kita hendak menidakkan gaji minimum yang sedia ada tetapi bagi pandangan MTUC sekarang ini adalah masa yang sesuai untuk reform dan buat satu perubahan. Kita tahu bahawa ada isu untuk kita laksanakan, pertama, kesedaran; kedua, pelaksanaan dan ketiga, penguatkuasaan.
"Ini kita kena lihat dari segi gaji minimum. Kita sangat berminat dalam isu gaji progresif ini, mungkin ia tidak boleh dibuat segera tetapi bagi MTUC ia satu tindakan yang boleh menggalakkan produktiviti," katanya dalam program Dialog Poket Rakyat di Astro AWANI pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata pelaksanaan gaji progresif juga dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kadar pengangguran dalam negara, selain menangani isu ketidaksepadanan dalam sektor pekerjaan.
"Saya jangkakan ketidaksepadanan akan bertambah naik sebab pekerja-pekerja yang ada kemahiran tinggi tetapi tidak ada peluang pekerjaan dan terpaksa bekerja (dalam sektor) kemahiran rendah," katanya.
Mohd Affendy turut berpandangan, gaji progresif wajar dilaksanakan di semua sektor pekerjaan dan melibatkan semua pekerja yang berada di bawah Akta Kerja dan Undang-undang Buruh termasuk warga asing.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr Elya Nabila Abdul Bahri berkata, gaji progresif akan memberi situasi menang-menang kepada pekerja dan majikan.
Jelasnya, gaji yang ditawarkan oleh majikan kelak adalah selari dengan produktiviti yang diberikan oleh pekerja.
"Selain itu, kenaikan gaji adalah selari dengan peningkatan kos sara hidup dan keseimbangan antara permintaan serta tawaran.
"Oleh sebab itu, kerajaan perlu melihat di mana Progressive Wage Model (PWM) ini sebagai satu langkah baik merangkumi semua peringkat. Kita lihat progresif yang kita lakukan sekarang adalah untuk pekerja separa mahir dan mahir, tetapi untuk bekerja yang kurang mahir mungkin tidak ada pergerakan gaji," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengasas Bersama Industries Unite, Datuk Irwin Cheong menyarankan kerajaan bekerjasama dengan majikan bagi mengkaji secara mendalam penetapan gaji minimum dan gaji progresif.
Jelas beliau, kebanyakan majikan bersedia mematuhi pelaksanaan gaji minimum tetapi ia perlu diselaraskan mengikut tahap tertentu, termasuk kelayakan akademik.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif dengan perbincangan serta proses libat urus mengenainya sudah bermula membabitkan pelbagai sektor.
Jelas Rafizi, dasar atau model gaji progresif akan dibangunkan secara bersama membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).
#Kerajaan Perpaduan #gaji minimum #gaji progresif #MITI #majikan
;