Gaji polis YA1 lebih tinggi berbanding penjawat awam Gred 19 - KPPA
Bernama
Julai 27, 2019 08:01 MYT
Julai 27, 2019 08:01 MYT
Gaji seorang konstabel polis (YA1) adalah RM300 lebih tinggi berbanding penjawat awam Gred 19, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Borhan Dolah.
Katanya, kelebihan gaji diterima polis itu mengambil kira faktor-faktor keselamatan.
"Gaji maksimum polis (YA1) RM4,152 manakala penjawat awam Gred 19 hanya RM4,003.
"Jumlah emolumen minimum bagi seorang anggota polis (YA1) RM2,356 dan Gred 19 menerima RM2,067," katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja rasmi sehari ke sini, hari ini.
Borhan mengulas lanjut berhubung kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang menyatakan beberapa elaun diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti elaun perumahan, kesengsaraan, Bayaran Insentif Tugas Am (BITA) serta kenaikan gaji tahunan masih ketinggalan.
Dalam pada itu, Borhan berkata sebanyak 27 elaun diterima pegawai atau anggota PDRM mengikut kriteria pemberian elaun iaitu risiko, kemahiran, kos sara hidup, penempatan, perkhidmatan dan tugasan serta kompetensi tambahan pegawai mahupun angggota.
"Selain itu, pada 1 Jan 2019, kerajaan turut meluluskan penyeragaman kadar Imbuhan Tetap Perumahan bagi pegawai atau anggota Perkhidmatan PDRM serta semua perkhidmatan beruniform, dengan implikasi kewangan melibatkan 23,899 anggota dan pegawai bernilai RM24,222,720," katanya.
Kata Borhan lagi, kerajaan dari semasa ke semasa akan menimbang permohonan serta membuat kajian semakan gaji dan elaun.
"Namun sebarang pertimbangan perlu dilihat secara menyeluruh supaya ianya tidak mengganggu gugat keharmonian antara skim-skim perkhidmatan," katanya lagi.
Sehubungan itu, katanya sebarang kajian semakan gaji dan elaun perlu diberi pertimbangan dan perhatian lebih berhati-hati kerana mengambil kira pelaksanaannya yang memberi implikasi kepada perbelanjaan mengurus tinggi.
Borhan yang dalam sesi lawatan rasmi ke Semporna hari ini, sempat menyantuni pesara uzur di daerah ini.
Beliau turut membuat lawatan ke tapak projek usahawan Agropreneur ladang ternakan kambing dan madu kelulut masing-masing milik pesara kerajaan Minduru Mohd Noor dan Ammil Hassan Anggari.
Menurut Borhan, pesara disaran melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan terus berkhidmat untuk komuniti setempat.
-- BERNAMA
#Abdul Hamid Bador
#Borhan Dolah
#elaun
#emolumen
#gaji
#gaji polis
#Gred 19
#Imbuhan Tetap
#kenaikan gaji
#kerajaan
#keselamatan
#konstabel polis
#PDRM
#penjawat awam
#polis