Gaji permulaan RM1,700 boleh bersara dengan simpanan RM1 juta jika konsisten - KWSP
Irfan Faruqi
Januari 23, 2025 14:00 MYT
Januari 23, 2025 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Caruman secara konsisten ke dalam tabung KWSP boleh menjamin persaraan yang selesa walaupun dengan gaji permulaan yang rendah.
Ringkasan AI
- Walaupun dengan gaji permulaan yang rendah, boleh menjamin persaraan yang selesa.
- Panduan Belanjawanku dan RIA diterbitkan untuk membantu pencarum merancang perbelanjaan bulanan dan menetapkan sasaran simpanan persaraan.
- Rangka Kerja RIA mengandungi tiga tahap simpanan yang disyorkan: Simpanan Mencukupi (RM650,000), Simpanan Asas (RM390,000), dan Simpanan Dipertingkat (RM1.3 juta).
Ketua Jabatan Polisi dan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff berkata berdasarkan simulasi, seseorang pekerja dengan gaji minimum RM1,700 juga boleh mencapai simpanan RM1 juta menjelang usia persaraan.
“Persaraan tidak menakutkan jika kita rancang lebih awal. Kami telah bangunkan simulasi berdasarkan angka. Contohnya, jika seorang pembantu pemasaran yang mula bekerja dengan gaji RM1,700.
“Sekiranya, dia mencarum secara konsisten setiap bulan dengan kenaikan gaji tahunan sebanyak 3 peratus, dia akan boleh mengumpul RM1 juta (simpanan KWSP).
"Jumlah ini lebih tinggi daripada Simpanan Asas dan Simpanan Mencukupi pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Gaji permulaan RM1,700 boleh bersara dengan simpanan RM1 juta jika konsisten - KWSP
Tambah Balqais, bagi memastikan pencarum mencapai sasaran simpanan dana persaraan yang mencukupi, KWSP menerbitkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), bertujuan menyediakan panduan komprehensif untuk perbelanjaan bulanan.
Pada masa sama Rangka Kerja RIA merupakan satu dokumen yang mengemas kini tahap simpanan yang disyorkan daripada penanda aras simpanan satu tahap kepada kerangka simpanan tiga tahap.
Menurut KWSP, tiga tahap berkenaan ialah:
- Simpanan Mencukupi: Ditetapkan berdasarkan amaun Belanjawanku bagi Individu Warga Emas iaitu sebanyak RM2,690 untuk 240 bulan, dibundarkan ke atas kepada RM10,000 terdekat (RM650,000)
- Simpanan Asas: 60% daripada jumlah Simpanan Mencukupi (RM390,000).
- Simpanan Dipertingkat: 2 kali ganda jumlah Simpanan Mencukupi (RM1.3 juta).
Menurut Balqais, Rangka Kerja RIA akan dilancarkan pada Januari 2026, yang mana ia akan membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan berbeza.
Agenda AWANI: Belanjawanku Guide 2024/2025 and RIA Framework