Gaji penjawat awam, barisan hadapan tidak boleh dibayar jika Belanjawan 2021 tidak lulus

Bernama
November 14, 2020 22:20 MYT
Pada 6 Nov lalu, Tengku Zafrul membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM322.5 bilion. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi COVID-19 sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagaimanapun beliau optimis belanjawan melibatkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang memfokuskan kepada usaha membantu rakyat dan pemulihan perniagaan serta ekonomi negara itu akan diluluskan.
“Bagi saya, kalau belanjawan ini dapat menolong negara kita, jadi tiada sebab untuk belanjawan ini tidak diluluskan dan ditolak (Dewan Rakyat).
“Kalau ditolak, dari segi ekonominya kita tidak dapat bayar komitmen kerajaan termasuk untuk membayar bantuan kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Pada 6 Nov lalu, Tengku Zafrul membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM322.5 bilion.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2021 #Gaji penjawat awam #petugas barisan hadapan #COVID-19 #Tengku Zafrul
;