Gaji penjawat awam akan dikaji - PM
Umavathi Ramayah
Mei 1, 2023 12:30 MYT
Mei 1, 2023 12:30 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menilai dan mengkaji semula gaji penjawat awam yang disifatkan masih tidak memuaskan ketika ini.
Beliau berkata, kajian itu membabitkan pekerja gred rendah dan menengah dalam sektor itu.
"Saya memang tahu upah penjawat awam tidak memuaskan (jadi) sudah tiba masanya kita buat penilaian dan kajian semula.
"Inj Ini jaminan saya dan kita akan bagi komitmen," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai gesaan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) supaya kerajaan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan daripada 13 peratus kepada 20 peratus, Anwar mengesahkan cadangan itu ada dikemukakan kepada kerajaan.
Bagaimanapun, jelasnya, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dan akan dibawa kepada Jemaah Menteri.
"Cadangan itu ada dikemukakan, tetapi kita belum bawa kepada Jemaah Menteri dan akan dibincangkan dahulu," kata Anwar.
Menurutnya, ia merupakan salah satu daripada 12 perkara yang dicadangkan UNI-MLC untuk ditangani dengan kadar segera sebagai hadiah sempena Hari Pekerja 2023.