Gaji pekerja wajib dibayar meskipun premis ditutup - Peguam

Najib Aroff
Mac 17, 2020 15:44 MYT
Firdaus berkata, bagi pekerjaan yang tidak boleh dilakukan di rumah seperti operator pengeluaran, pihak majikan wajib menanggung bayaran gaji - Foto Astro AWANI
Majikan wajib membayar gaji pekerja untuk tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa 18 hingga 31 Mac ini.
Menurut peguam sumber manusia, Firdaus Zakaria, Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan berlandaskan kepada tiga akta iaitu Akta Kerja 1955, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Polis 1967 yang mewajibkan pekerja untuk berada di rumah.
"Ini adalah arahan untuk semua pekerja bekerja seperti biasa, cuma bekerja dari rumah. Ia bukan pelepasan cuti. ia satu kaedah mengawal pergerakan sahaja.
"Mereka perlu dibayar gaji sepert biasa, cuma soal elaun itu adalah perkara yang berbeza kerana ia bukan suatu kemestian untuk dibayar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Firdaus berkata, bagi pekerjaan yang tidak boleh dilakukan di rumah seperti operator pengeluaran, pihak majikan wajib menanggung bayaran gaji untuk tempoh Perintah Kawalan pergerakan.
"Ia perlu dipatuhi, contohnya pekerja kilang yang mesti berada di kilang, namun susulan arahan kerajaan untuk berada di rumah, mereka perlu berada di rumah masing-masing. Mereka mesti dibayar gaji dan tidak boleh dipotong," kata Firdaus.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman pada Isnin berkata, 14 sektor kritikal sahaja dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Sektor itu merangkumi air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
#gaji pekerja #kilang #lockdown #Muhyiddin Yassin #perintah kawalan pergerakan
;