Gaji minimum RM1,500 untuk kekal bekerja dalam negara

Bernama
September 9, 2018 17:09 MYT
Gaji minimum yang berpatutan amat penting supaya lebih ramai rakyat kekal berkhidmat di negara ini serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. - Gambar hiasan
Gaji minimum dicadang dinaikkan sehingga RM1,500 dengan kadar segera sebagai langkah untuk menggalakkan lebih ramai rakyat kekal berkhidmat di negara ini serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Dr S Ramakrishnan berkata, kenaikan gaji itu juga seiring dengan kos sara hidup yang semakin meningkat selain menjadi dorongan bagi menarik pekerja tempatan.
"Gaji minimum ini amat serius, kita mahu naikkan kepada RM1,500 tetapi kenaikan yang diumumkan RM1,050 yang nilainya kecil menyebabkan pekerja tidak berpuas hati," katanya kepada pemberita pada program Projek Mendaftar Anak Malaysia di Dewan Kuil Arulmigu Sri Rajamariamman di sini, hari ini.
"Tetapi memandangkan keadaan negara ketika ini, tidak boleh juga untuk salahkan kerajaan namun gaji minimum tetap harus dinaikkan kerana ia boleh menyebabkan pekerja tempatan tidak mahu bekerja," tambah beliau lagi.
Ramakrishnan berkata untuk mewujudkan pekerja yang berkemahiran, kenaikan gaji juga menjadi pendorong seperti yang dilakukan negara jiran, yang mana kesannya dapat meningkatkan kecekapan dalam sektor teknologi dan inovasi.
Pada 5 Sept, kerajaan mengumumkan pelaksanaan kadar gaji minimum yang seragam di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuatkuasa 1 Jan, 2019.
Sementara itu, Projek Mendaftar Anak Malaysia dengan kerjasama Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) yang bermula semalam, telah menarik kira-kira 800 orang yang berdepan masalah kewarganegaraan.
Ramakrishnan berkata menerusi program itu, sukarelawan akan membantu menyemak dokumentasi yang diperlukan untuk memproses pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang akan dijalankan 18-20 Sept ini.
Jelasnya, terdapat ramai rakyat di negeri ini mengalami kesukaran untuk mendapatkan status kewarganegaraan berikutan pendaftaran mereka tidak diterima oleh pihak JPN disebabkan pelbagai masalah.
Antaranya kesukaran mendapatkan kad pengenalan dan surat beranak seperti masalah negara kelahiran ibu dan bapa pemohon, selain ada antara mereka memiliki kad pengenalan berwarna merah sejak sebelum merdeka sehingga kini.
"Kita juga akan membantu mendapatkan maklum balas daripada JPN berhubung permohonan mereka selepas pendaftaran dilakukan dan berharap pendekatan yang dibawa kerajaan baharu ini lebih mesra dan dapat menyelesaikan isu berkaitan kewarganegaraan," katanya.
-- BERNAMA
#daya saing #gaji minimum #pejkerja asing #pekerja tempatan #rakyat Malaysia #sumber manusia #tenaga kerja asing
;