Gaji minimum RM1,050 bermula 1 Januari

Astro Awani
September 5, 2018 19:16 MYT
Kadar gaji minimum ditetapkan pada RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam. -Gambar hiasan
Pelarasan gaji minimum akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Januari tahun depan, kata Pejabat Perdana Menteri.
Kadar gaji minimum itu ditetapkan pada RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam.
Ia merupakan salah satu daripada 10 janji Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu.
“Setelah menimbang syor MPGN dari pelbagai sudut, Kerajaan buat pertama kalinya bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu RM1,050 sebulan/ RM5.05 sejam berkuat kuasa 1hb Januari 2019.
“Kerajaan juga memutuskan untuk tidak memberikan sebarang subsidi kepada mana-mana majikan kerana kekangan kewangan semasa negara,” kata kenyataan itu.
Kenyataan media itu juga menjelaskan peningkatan gaji minimum ini selaras dengan situasi ekonomi semasa negara dan sebarang peningkatan gaji yang drastik bakal menimbulkan masalah lain kepada industri yang juga boleh menggugat daya saing negara.
Justeru, kerajaan merasakan, adalah lebih wajar jika gaji minimum dinaikkan secara berkala dalam tahun-tahun akan datang supaya industri, terutamanya majikan kecil, tidak menutup perniagaan mereka akibat kos operasi yang tinggi yang bakal menyebabkan pemberhentian pekerja.
“Majikan dan peniaga juga diseru supaya tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan susulan kenaikan gaji minimum ini.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dimohon untuk memantau perkara tersebut,” katanya kenyataan itu lagi.
Pada masa ini, kadar gaji minimum adalah RM1,000 sebulan di Semenanjung dan RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
#gaji #Malaysia #Malaysia Barat #Malaysia Timur #minimum #Putrajaya #Sabah #Sarawak #selaras #Semenanjung
;