Gaji minimum: Risiko inflasi meningkat, tapi ditampung kenaikan gaji - Rafizi

Hasimi Muhamad
Julai 4, 2023 12:44 MYT
Rafizi berkata unjuran itu berlaku dalam keadaan trend inflasi yang semakin mereda sejak sembilan bulan lalu, dengan kenaikan gaji diharap mampu menampung peningkatan harga barangan. -Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Pembayaran gaji minimum RM1,500 kepada pekerja di semua sektor termasuk majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bermula 1 Julai berpotensi memberi risiko kepada kenaikan inflasi.
Bagaimanapun, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata unjuran itu berlaku dalam keadaan trend inflasi yang semakin mereda sejak sembilan bulan lalu, dengan kenaikan gaji diharap mampu menampung peningkatan harga barangan.
"... yang itu (kenaikan inflasi), dari segi risiko itu memang ada. Tetapi saya ingat semasa kerajaan membuat keputusan itu, sebenarnya dia telah pun menjalankan unjuran-unjuran.
"Ia berlaku dalam keadaan trend inflasi semakin mereda dan ia telah turun selama sembilan bulan berturut-turut dan inflasi sekarang untuk (setakat) Mei adalah 2.8 peratus dan paling rendah dalam satu tahun.
"Itu di mana keseimbangan perlu datanglah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Menteri Ekonomi bersama Warga Kementerian Ekonomi, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, kerajaan perlu mengetatkan keseimbangan dan memastikan berlaku kenaikan gaji secara beransur-ansur.
Perkara itu, katanya, diharap dapat dilakukan melalui pelaksanaan gaji minimum, dan sebahagian lagi menerusi gaji progresif yang dijangka dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Ogos ini.
"Itu akan mengimbangi walaupun ada risiko inflasi tetapi sifat ekonomi adalah sedemikian, akan sentiasa ada inflasi.
"Dan sebenarnya jika anda ingin menurunkan inflasi dalam lingkungan yang sihat sekitar dua peratus (ia mengambil masa).
"Cuma yang penting ialah dengan inflasi itu ia dapat ditampung dengan kenaikan gaji yang setimpal dengan nilai kerja dan kenaikan harga barang," katanya lagi.
Rafizi menambah, apa yang berlaku ketika ini kerana kenaikan gaji dilihat tidak dapat menampung kenaikan harga barangan, dan kerajaan sedang berusaha memberi fokus kepada perkara tersebut.
Pada 27 Disember lepas, Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar berkata penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum (PGM) bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja ditangguhkan dari 1 Januari 2023 kepada 1 Julai 2023.
#Rafizi Ramli #pelaksanaan gaji minimum #gaji progresif #Kerajaan Perpaduan
;